PUTRAJAYA – DAP perlu mengambil serius keputusan 8-0 di Sabah dengan tuntutan hak 40 peratus Sabah antara isu yang perlu diberi perhatian segera, kata seorang perwakilan Sabah.
Yap Wui Lip berkata, keputusan tersebut perlu dijadikan pengajaran kepada DAP dan Kerajaan Persekutuan bahawa kegusaran rakyat Sabah tidak boleh dipandang ringan jika parti mahu mempertahankan sokongan negeri itu pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, rakyat Sabah semakin mempersoalkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu asas negeri, khususnya tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
“8-0 di Sabah itu sudah final. Kita kena belajar daripada keputusan ini,” katanya ketika membahaskan usul mengenai sama ada DAP perlu kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan pada Persidangan DAP 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, tuntutan 40 peratus bukan sekadar isu politik bermusim, sebaliknya perkara yang terus menjadi perhatian rakyat Sabah dan memerlukan penyelesaian lebih jelas daripada Kerajaan Persekutuan.
Katanya, ketika kempen pilihan raya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ditanya mengenai tuntutan berkenaan, namun penjelasan yang diberikan masih belum cukup untuk meyakinkan rakyat Sabah.
Beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih drastik bagi menyelesaikan tuntutan itu sebelum pilihan raya umum akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata, peningkatan geran khas Sabah kepada RM1.5 bilion setahun daripada jumlah yang jauh lebih kecil sebelum ini merupakan perkembangan positif, namun tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian kepada tuntutan 40 peratus.
“Special grant itu bukan penyelesaian kepada 40 peratus. Kita perlu selesaikan isu 40 peratus itu sendiri,” katanya.
Perwakilan itu turut membangkitkan kesan beberapa dasar Persekutuan terhadap rakyat Sabah, termasuk gaji minimum RM1,700, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta dasar subsidi diesel.
Katanya, dasar ekonomi yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan perlu mengambil kira keadaan sebenar rakyat dan peniaga di Sabah yang berdepan kos operasi serta logistik lebih tinggi.
Beliau berkata isu subsidi diesel khususnya menimbulkan rasa tidak puas hati kerana bantuan yang diberikan dilihat tidak sepadan dengan realiti kehidupan masyarakat di kawasan pedalaman.
Sebagai contoh, katanya, terdapat ibu bapa yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk menghantar anak ke sekolah, menyebabkan bantuan diesel RM200 dianggap tidak mencukupi.
“Di Sabah, jarak jauh dan kos perjalanan tinggi. Kita perlu dengar suara rakyat di lapangan,” katanya.
Beliau berkata, keadaan tersebut menunjukkan mengapa DAP perlu menilai semula keberkesanan pendekatannya jika parti memilih untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, penyertaan DAP dalam kerajaan perlu membawa suara rakyat Sabah ke meja pentadbiran dan memastikan isu yang membebankan mereka benar-benar mendapat perhatian.
Pada masa sama, beliau berkata, pencapaian Kerajaan Madani perlu disampaikan dengan lebih berkesan kerana banyak usaha kerajaan masih tidak sampai atau tidak meyakinkan rakyat Sabah.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh bergantung kepada naratif politik semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat, sebaliknya perlu menunjukkan hasil yang boleh dirasai dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, kekalahan 8-0 di Sabah seharusnya menjadi isyarat isu dasar dan keperluan rakyat perlu diberi perhatian lebih serius, bukannya hanya dilihat sebagai masalah komunikasi politik.
Justeru, katanya, jika DAP memutuskan untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan, parti perlu memastikan baki tempoh pentadbiran digunakan untuk memperjuangkan tuntutan Sabah serta memperbaiki dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Beliau menegaskan keputusan mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan tidak boleh dibuat tanpa mengambil kira suara Sabah dan mesej yang disampaikan pengundi melalui keputusan pilihan raya baru-baru ini. – MalaysiaGazette
















