KUALA LUMPUR – Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) menobatkan lagu Tiwikarma nyanyian kumpulan K.O.I sebagai juara pada acara gilang gemilang di Unifi Arena, Bukit Jalil malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan K.O.I bersama komposer Zai Hamzah dan Hemo Globin serta penulis lirik Achoi Floor 88, Khaza Raflex, Tuan Nicky, Mya Nana dan Sapik Sam membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 serta trofi AJL40.
Penampilan sulung K.O.I di pentas berprestij itu membawa Tiwikarma menerusi persembahan yang sarat mesej kemanusiaan dengan bait-bait lirik puitis diterjemahkan menerusi elemen lakonan teater yang menggambarkan penderitaan.
Pendekatan menyentuh emosi penonton itu turut memaparkan helaian kertas yang berterbangan dengan membawa mesej berkaitan kemanusiaan hingga berjaya mencuri hati penonton di apabila persembahan K.O.I menerima tepukan gemuruh dan standing ovation penonton.
Sementara itu, tempat kedua AJL40 menjadi milik Aisha Retno menerusi Tak Adil’yang membawa pulang RM50,000 dan trofi manakala Ryenald Guntabid menerusi Lumangad Oku Dika pula menduduki tempat ketiga, dengan membawa pulang RM30,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, Aina Abdul menerusi Kamu diumumkan sebagai pemenang Anugerah Persembahan Terbaik dan Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee.
Aina menerima RM12,000 bagi Anugerah Persembahan Terbaik manakala RM50,000 untuk Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee.
Lebih istimewa lagi apabila Aina turut dipilih mewakili Malaysia ke Eurovision Song Contest Asia 2026.
Marsha Milan pula dinobatkan sebagai penerima Anugerah Vokal Terbaik AJL40 sekali gus membawa pulang trofi serta wang tunai RM12,000. – MalaysiaGazette
















