AYER KEROH – Ancaman terbesar terhadap orang Melayu bukan datang daripada kaum lain, sebaliknya daripada orang Melayu sendiri yang gagal menangani pelbagai masalah dalam kalangan masyarakat itu, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, cabaran terhadap masyarakat Melayu perlu dilihat secara lebih terbuka dan tidak terus diletakkan atas bahu kaum lain, termasuk dalam isu kemiskinan, masalah sosial dan ancaman penyalahgunaan dadah.
“Kalau orang Islam dan Melayu miskin, itu cabaran kita. Kalau orang lain miskin, itu juga cabaran kita. Kalau orang naik harga paling tinggi, itu ancaman.
“Bagaimana Melayu diancam, kerana Melayu terlibat dengan dadah, ini ancaman kepada bangsa. Cabaran kepada kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade and Exhibition Centre (MITC), hari ini.
Menurut Saifuddin Nasution, pendekatan politik yang hanya mengapi-apikan sentimen identiti kaum tidak akan menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
Sebaliknya, kata beliau, tumpuan perlu diberikan kepada politik berasaskan prestasi dengan kerajaan membuktikan keupayaan menangani isu ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, perjuangan membela Melayu tidak seharusnya hanya diterjemahkan melalui retorik politik, sebaliknya perlu dibuktikan menerusi dasar yang mampu mengurangkan kemiskinan, meningkatkan pendapatan serta menangani masalah sosial.
“Jangan bertempur dalam politik identiti. Fokus kepada politik prestasi dan ekonomi. Jangan besar dalam politik identiti,” katanya.
Saifuddin Nasution turut mengingatkan bahawa kestabilan politik dan ekonomi perlu disokong tadbir urus baik, termasuk usaha membanteras rasuah, penyelewengan, ketirisan dan pembaziran.
Katanya, kerajaan perlu terus berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat tanpa mengira kaum kerana cabaran seperti kemiskinan dan kenaikan kos sara hidup akhirnya memberi kesan kepada seluruh masyarakat.
“Good governance, jangan rasuah, jangan tiris, jangan seleweng, jangan boros. Elak rasuah, elak penyelewengan, pembaziran,” katanya.
Beliau menegaskan, PKR perlu membawa pendekatan politik yang menilai kejayaan berdasarkan prestasi kerajaan dan manfaat yang diterima rakyat, bukan dengan memperbesar pertembungan identiti antara kaum. – MalaysiaGazette
















