AYER KEROH – Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) secara menyeluruh tanpa menggantikannya dengan undang-undang baharu yang boleh mengekang kebebasan mahasiswa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha untuk sekadar meminda AUKU, sebaliknya akta itu mesti dimansuhkan sepenuhnya.
Menurut beliau, langkah berkenaan penting bagi menjamin kebebasan hakiki mahasiswa selain memastikan idealisme serta pergerakan mereka di kampus tidak dikongkong menerusi undang-undang khusus.
“Saya nak umumkan sekarang, kita sudah setuju tentang pemansuhan AUKU. Saya nak jelaskan saya tidak mahu pindaan, AUKU wajib dimansuhkan sepenuhnya.
“Ada kebimbangan kononnya bila AUKU dibatalkan, undang-undang baharu diperkenalkan yang juga mengongkong dan menyekat. Saya tidak akan benarkan mana-mana peraturan atau undang-undang gantian yang mengongkong kegiatan mahasiswa,” katanya ketika penggulungan Kongres PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Anwar berkata, undang-undang sedia ada negara sudah mencukupi untuk menangani kesalahan jenayah umum tanpa memerlukan akta khusus yang menyekat mahasiswa.
Katanya, prinsip berkenaan telah diperkenalkan sejak 1974 dan tidak wajar diteruskan dalam apa juga bentuk baharu.
“Saya tidak bermaksud melonggarkan peraturan tatatertib jenayah sedia ada, tetapi undang-undang khas bagi mahasiswa seperti AUKU tidak wajar diteruskan,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, mahasiswa tetap tertakluk kepada undang-undang jenayah umum sekiranya melakukan kesalahan seperti mencederakan orang lain atau menipu dalam peperiksaan.
Tambahnya, pendirian itu akan ditegaskannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini bagi memastikan tiada pindaan atau akta baharu yang menggantikan AUKU turut mengongkong kegiatan mahasiswa.
“Saya akan tegaskan perkara ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri bahawa saya tidak bersetuju dengan apa-apa pindaan atau akta penggantian yang mengekang kegiatan mahasiswa,” katanya. – MalaysiaGazette
















