PUTRAJAYA – DAP mengakui terdapat suara kritikal dalam kalangan perwakilannya yang mahu kerajaan lebih tegas, lebih pantas dan lebih agresif melaksanakan perubahan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agungjya, Anthony Loke berkata, majoriti perwakilan memilih untuk kekal dalam kerajaan kerana memahami kepentingan kestabilan politik bagi memastikan agenda reformasi dapat diteruskan.
Beliau berkata, perbahasan dalam persidangan DAP berlangsung secara terbuka dan pandangan kritikal tidak diketepikan.
“Ada beberapa pandangan kritikal yang kami terima dengan sangat terbuka,” katanya pada sidang media selepas Persidangan DAP 2026 di sini, hari ini.
Menurut Anthony, perbezaan pandangan itu menunjukkan wujudnya keresahan dalam kalangan akar umbi berhubung kadar pelaksanaan perubahan kerajaan.
Namun, katanya, majoriti perwakilan tetap berpandangan DAP perlu terus berada dalam kerajaan untuk memainkan peranan secara konstruktif.
“Kita tidak ingin menciptakan kekacauan lain di dalam kerajaan.
“Perwakilan telah memilih untuk kita kekal di kerajaan. Ini adalah harapan perwakilan, mengetahui kita perlu bekerjasama dengan UMNO,” katanya.
Anthony berkata, kerjasama dengan UMNO adalah realiti politik dalam Kerajaan Perpaduan yang perlu diterima oleh parti.
Menurutnya, perbezaan antara parti-parti komponen kerajaan memang wujud, tetapi kestabilan kerajaan perlu dipelihara supaya dasar dan reformasi yang dipersetujui dapat dilaksanakan.
“Ya, ada perbezaan antara parti-parti di kerajaan.
“Tetapi kita perlu menjaga keadaan kerajaan untuk memastikan apa sahaja yang kita bincangkan boleh diimplementasikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















