Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bersama Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo hadir ke Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meminta kira-kira 12 peratus perwakilan yang tidak menyokong usul untuk kekal dalam kerajaan supaya menghormati keputusan majoriti.

Beliau berkata, pandangan berbeza dalam parti adalah hak setiap perwakilan dan tidak wajar dikenakan tindakan hanya kerana mempunyai pendirian berbeza.

Namun, selepas proses demokrasi selesai, katanya, keputusan majoriti perlu diterima oleh semua anggota parti.

“Saya menghormati 12 peratus yang memilih untuk tidak menyokong. Itulah pandangan mereka. Sudah tentu mereka bebas untuk memilih.

“Tetapi sebagai sebuah parti, kita juga perlu menerima pendapat kebanyakan,” katanya pada sidsng media selepas Persidangan DAP 2026 di sini, hari ini.

Anthony berkata, keputusan itu dibuat dengan majoriti yang meyakinkan apabila hampir 88 peratus perwakilan yang hadir menyokong DAP kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh Parlimen.

Beliau berharap, golongan yang tidak bersetuju dengan keputusan itu tidak menjejaskan usaha kepimpinan parti untuk terus memainkan peranan dalam kerajaan.

“Walaupun mereka berpendapat tidak mahu melihat parti kekal dalam kerajaan, mereka boleh menghormati dan menyokong ketua-ketua untuk terus memainkan peranan kami dengan konstruktif,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast