PUTRAJAYA – DAP menegaskan parti itu akan kekal sebagai sebuah parti berbilang kaum yang memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, meskipun sudah enam dekad berada dalam arena politik negara.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, usia 60 tahun yang dicapai parti itu pada tahun ini tidak seharusnya menyebabkan DAP melupakan idealisme asal yang menjadi asas penubuhannya.
Beliau berkata, DAP sejak awal penubuhan membawa objektif memperjuangkan keadilan, kebebasan dan demokrasi selain memastikan setiap rakyat mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dalam kehidupan.
“DAP ditubuhkan kerana ada objektif yang murni untuk negara kita. DAP ditubuhkan dengan satu asas bahawa parti DAP adalah parti untuk rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya ketika berucap pada Persidangan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), di sini, hari ini.
Menurut Anthony Loke, walaupun DAP kini menjadi parti politik besar dan sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, perjuangan asas itu tidak boleh diketepikan.
Beliau turut mengambil iktibar daripada kisah pengasas dan pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, yang pernah menolak cadangan supaya parti itu dibubarkan dan bergabung dengan MCA pada awal 1970-an.
Anthony Loke berkata, Kit Siang menolak cadangan tersebut kerana DAP bukan sebuah parti untuk satu kaum sahaja, sebaliknya mempunyai pemimpin dan anggota daripada pelbagai latar belakang.
“Saya juga ingin secara tegas menyatakan dalam persidangan ini, DAP akan kekal sebagai parti berbilang kaum untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, prinsip tersebut perlu terus menjadi dasar utama parti dan tidak boleh dilupakan oleh kepimpinan mahupun setiap anggota DAP.
Anthony turut menegaskan bahawa DAP tidak pernah mengambil pendekatan untuk memusuhi mana-mana kaum walaupun parti itu berdepan pelbagai tuduhan sejak enam dekad lalu.
Menurutnya, cabaran terbesar DAP adalah memecahkan tembok politik perkauman bagi membolehkan parti itu diterima lebih luas oleh rakyat Malaysia.
“Kita ada pandangan, objektif dan dasar dalam bagaimana kita menguruskan negara. Namun begitu, DAP dari dulu sehingga sekarang tak pernah mengambil mana-mana pendekatan ataupun dasar untuk memusuhi mana-mana satu kaum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















