Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – Persidangan Parti Tindakan Demokratik (DAP) hari ini mencatat sejarah apabila 4,264 perwakilan diberi mandat menentukan sama ada parti itu akan terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal atau kembali memainkan peranan sebagai kumpulan pendesak dari kerusi pembangkang.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke bekata, keputusan berhubung kedudukan parti dalam kerajaan tidak dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti semata-mata, sebaliknya diserahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk diputuskan secara kolektif.

Menurut beliau, keputusan itu susulan kekalahan besar DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu yang disifatkannya sebagai mesej jelas daripada rakyat negeri berkenaan terhadap parti.

“Kita telah berbincang dalam CEC dan memutuskan supaya menyerahkan kepada para perwakilan untuk menentukan sama ada parti terus berada dalam Kerajaan Persekutuan ataupun tidak,” katanya ketika berucap pada Persidangan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Anthony Loke berkata, sepanjang berada dalam kerajaan, DAP turut perlu menanggung bersama kesan daripada keputusan kerajaan yang tidak popular, termasuk menerima kritikan, pandangan negatif dan undi protes daripada rakyat.

“Apabila kita berada dalam kerajaan, ada kekangan, ada kelemahan yang perlu kita tanggung secara bersama. Apa-apa keputusan kerajaan yang tidak popular sudah tentu sebagai parti yang berada dalam kerajaan kita perlu menanggung secara bersama,” katanya.

Beliau berkata, perwakilan kini perlu memilih sama ada DAP terus berada dalam kerajaan sehingga tamat tempoh bagi melaksanakan tugas, mempengaruhi dasar serta membawa perubahan dan reformasi yang dijanjikan, atau kembali menjadi kumpulan pendesak dengan memainkan peranan sebagai backbencher.

Anthony Loke menegaskan, pilihan berkenaan bukan keputusan mudah kerana ia membabitkan hala tuju parti dan kedudukannya dalam Kerajaan Persekutuan.

“Pucuk pimpinan parti merasakan bahawa satu keputusan besar seperti ini seharusnya dibuat secara kolektif oleh para perwakilan dan bukannya hanya 40 orang dalam CEC.

“Kita mendemokrasikan proses membuat keputusan ini dan menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan DAP untuk menentukan hala tuju parti,” katanya.

Beliau berkata, DAP kini sudah berada dalam kerajaan untuk tempoh hampir tiga tahun lapan bulan, sekali gus lebih lama berbanding pengalaman pertama parti itu berada dalam kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018.

Anthony Loke berkata, keputusan yang bakal dibuat perwakilan hari ini bukan sahaja menentukan kedudukan DAP dalam kerajaan, malah menjadi penentu kepada arah perjalanan politik parti untuk tempoh akan datang.

“Keputusan terakhir berada di tangan perwakilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here