Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri R Ramanan menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2026.

AYER KEROH – Naib Presiden PKR, Datuk Seri R. Ramanan mengingatkan anggota parti supaya tidak berpecah sesama sendiri kerana perbalahan di peringkat kepimpinan hanya akan melemahkan jentera di akar umbi dan memberi keuntungan kepada lawan politik.

Beliau berkata, perpecahan dalam kalangan pimpinan boleh menyebabkan cabang dan ranting turut berpecah, selain menimbulkan kekeliruan dalam kalangan anggota serta melemahkan kekuatan parti.

“Kalau kita mencucuk sesama sendiri di atas, yang akhirnya menjadi mangsa ialah jentera kita di bawah. Cabang berpecah, ranting berpecah, anggota keliru dan jentera menjadi lemah.

“Dan akhirnya, lawan politik kita yang mendapat keuntungan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026, di sini, hari ini.

Menurut Ramanan lagi, kepentingan parti dan perjuangan bersama perlu sentiasa diutamakan berbanding kepentingan peribadi mana-mana individu.

Beliau berkata, sebarang perbezaan pandangan atau masalah dalam parti perlu diselesaikan melalui perbincangan secara bersama, bukannya dengan memperbesar konflik dalaman.

“Ingat, tiada siapa lebih besar daripada parti. Tiada kepentingan peribadi yang lebih besar daripada perjuangan.

“Kalau ada perbezaan, kita duduk semeja. Kalau ada masalah, kita selesaikan sebagai satu keluarga. Kalau ada ego, kita ketepikan.

“Kerana matlamat kita jauh lebih besar daripada mana-mana individu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here