AYER KEROH – “Jangan sibuk ukur langsir Putrajaya” menjadi peringatan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fadhlina Sidek kepada pihak yang sudah mula membuat percaturan untuk mengambil alih pentadbiran negara.
Menurut Fadhlina, PKR tidak seharusnya terganggu dengan percaturan politik di luar parti, sebaliknya perlu terus memperkukuh kekuatan bagi memastikan agenda reformasi dapat diteruskan.
Beliau berkata, jentera parti juga tidak boleh menunggu sehingga Parlimen dibubarkan atau calon pilihan raya diumumkan sebelum bersiap menghadapi pilihan raya.
“Jangan tunggu Parlimen bubar. Jangan tunggu calon diumumkan. Kita ini orang politik. Semua ini orang politik. Kita tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Ketua Wanita PKR pada Kongres Nasional PKR di di Melaka International Trade and Exhibition Centre (MITC), di sini hari ini.
Fadhlina berkata, PKR sudah melalui pengalaman dikhianati, kehilangan kerajaan dan melihat rakan menjadi lawan, justeru parti perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Hari ini duduk bersama kita, esok runding dengan orang lain. Hari ini hendak pertahankan Kerajaan Madani, esok kita dengar cerita burukkan rakan sendiri.
“Terbang kunang di tengah malam, hinggap masuk di tiang seri. Tangan kanan diajak bersalam, apa maksud pisau di tangan kiri?” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan agenda reformasi tidak akan selesai hanya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, sebaliknya perlu diteruskan dengan memastikan beliau kekal menerajui kerajaan.
“Reformasi tidak selesai hanya kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Reformasi mesti diteruskan dengan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri.
“Kita mahu kerja-kerja ini diteruskan. Kita mahu reformasi itu mesti diteruskan. Kita mahu ekonomi terus diperkuat. Kita mahu kehidupan rakyat terus diangkat,” katanya.
Fadhlina berkata, pilihan raya akan datang bukan sekadar menentukan jumlah kerusi yang dimenangi PKR, sebaliknya menjadi penentu sama ada perjalanan perubahan yang dimulakan kerajaan akan diteruskan atau dihentikan.
Beliau turut menegaskan kekuatan PKR tidak bergantung kepada siapa yang menjadi rakan politik atau siapa yang memilih meninggalkan parti.
“Siapa pun bersama kita, kita kuatkan. Siapa pun meninggalkan kita, kita tetap kuat.
“Kita ada semangat, kita ada anggota yang percaya kepada perjuangan. Kita ada orang yang sanggup mengetuk satu pintu, kemudian satu pintu lagi, kemudian satu lorong lagi, kerana mereka percaya negara ini boleh berubah,” katanya.
Fadhlina kemudian memberi mesej tegas kepada pihak yang sudah mula berkira-kira untuk mengambil tempat PKR dalam pentadbiran negara.
“Kalau hari ini ada pula yang sudah mula berkira-kira, bila nak ambil tempat kita, bersaing kepada mereka, sabar dulu.
“Jangan sibuk ukur langsir Putrajaya. Kerja kita belum selesai. Perjuangan kita belum selesai. Dan saudara-saudari, kita belum selesai memimpin negara ini.”
Beliau berkata, PKR akan berdepan apa juga percaturan politik dan terus mempertahankan mandat yang diberikan rakyat.
“Apa pun percaturan di luar sana, kita hadap. Apa pun ranjau yang dipasang, kita redah. Ranjau kita dengar. Ranjau kita redah. Putrajaya kita pertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette
















