Perwakilan yang hadir pada Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – DAP tidak seharusnya mengambil risiko menggugat Kerajaan Perpaduan kerana sebarang pergolakan politik boleh menjejaskan semula pembangunan dan projek infrastruktur utama di Pulau Pinang, kata seorang perwakilan negeri itu.

Menurut Daniel Gooi Zi Sen, pengalaman selepas Langkah Sheraton pada 2020 perlu dijadikan pengajaran kerana Pulau Pinang ketika itu didakwa berdepan keadaan seolah-olah ‘dianaktirikan’ dari segi pembangunan.

Antara projek yang menurutnya terjejas atau tertangguh ketika itu ialah projek aliran transit ringan (LRT) dan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Katanya, keadaan berubah selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila beberapa projek infrastruktur utama di Pulau Pinang kembali bergerak.

“Jangan kita benarkan pergolakan politik berlaku sehingga projek-projek mega yang memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang terjejas,” katanya ketika membahaskan usul mengenai kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan pada Persidangan DAP 2026.

Beliau berkata, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU-15 berlaku dalam keadaan tiada parti mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan sendiri dan ia merupakan keputusan yang dibuat demi kestabilan politik serta kemakmuran negara.

Menurutnya, kesediaan DAP bekerjasama dengan parti yang sebelum ini menjadi seteru politik menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan parti dalam mendahulukan kepentingan rakyat.

Justeru, beliau mahu perwakilan menilai semula sama ada cadangan untuk keluar daripada kerajaan benar-benar selari dengan semangat yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan pada 2022.

“Jangan kita menghukum kerajaan dengan kita keluar daripada kerajaan,” ujarnya.

Dalam mempertahankan prestasi kerajaan dan wakil DAP, beliau mengemukakan beberapa persoalan kepada perwakilan, termasuk sama ada Kerajaan Persekutuan telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada menteri, timbalan menteri dan wakil rakyat DAP gagal menjalankan tugas selepas menyertai kerajaan, selain sama ada parti atau kepimpinannya terpalit dengan rasuah selepas memegang kuasa.

Kesemua persoalan itu dijawab dengan penolakan oleh perwakilan yang hadir.

Menurut beliau, menteri dan timbalan menteri daripada DAP juga tidak seharusnya dilihat gagal hanya kerana parti kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Sebaliknya, beliau mengingatkan DAP telah melalui perjalanan politik yang panjang dan pernah berdepan kekalahan serta tempoh sukar sebelum berjaya mencapai kedudukan seperti hari ini.

Katanya, jika parti berputus asa ketika berdepan kekalahan pada masa lalu, DAP tidak mungkin berada dalam Kerajaan Persekutuan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran mengenai kewujudan pihak yang didakwanya cuba menggagalkan usul berkenaan dan mahu mengambil kesempatan untuk mengubah kedudukan DAP dalam kerajaan.

Beliau berkata, perwakilan perlu mengenal pasti ‘musuh sebenar’, termasuk kemungkinan ‘ musuh dalam selimut’ dan tidak menjadikan Perdana Menteri atau kerajaan Persekutuan semasa sebagai sasaran.

“Kita jangan menghukum kepimpinan kerajaan sekarang. Musuh sebenar bukan Perdana Menteri, bukan Kerajaan Persekutuan,” tegasnya.

Beliau kemudian menyeru perwakilan supaya menyokong pendirian untuk meneruskan penyertaan DAP dalam kerajaan, sambil menegaskan parti perlu terus berjuang demi kepentingan rakyat.

Katanya, kestabilan politik bukan sekadar soal kedudukan parti dalam kerajaan, tetapi turut mempunyai kesan langsung terhadap pembangunan, pelaburan dan projek infrastruktur yang sedang dirancang untuk rakyat.

Beliau menegaskan DAP perlu mengekalkan semangat ‘pantang undur’ dan tidak mengambil keputusan yang boleh menyebabkan parti serta rakyat kembali berdepan ketidakstabilan seperti yang berlaku selepas Langkah Sheraton. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here