Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada Persidangan DAP 2026 di PICC, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 16 OGOS 2026.

PUTRAJAYA – DAP tidak seharusnya keluar daripada Kerajaan Perpaduan kerana tindakan itu boleh dianggap sebagai satu bentuk undi tidak percaya terhadap kerajaan sendiri dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata perwakilan Pahang, Leong Ngah Ngah.

Beliau berkata, keputusan untuk meninggalkan kerajaan juga berisiko menggugat kestabilan politik negara pada ketika Malaysia masih berdepan cabaran politik berasaskan kaum dan agama.

“Kalau DAP keluar daripada kerajaan sekarang, ia akan menjadi undi tidak percaya kepada kerajaan sendiri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika membahaskan usul mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan pada Persidangan DAP 2026 di sini hari ini.

Ngah Ngah berkata DAP perlu melihat kembali keadaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 2022 apabila tiada satu parti mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan secara bersendirian.

Menurutnya, pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika itu merupakan langkah penting bagi memastikan kestabilan politik dan kemakmuran negara, termasuk kesediaan DAP bekerjasama dengan parti yang sebelum ini menjadi seteru politik.

Beliau berkata, prinsip berbilang kaum yang dibawa DAP dan Pakatan Harapan (PH) perlu dipertahankan kerana negara masih berdepan persaingan politik yang menggunakan isu kaum dan agama.

Katanya, Pas pula dilihat membawa pendekatan yang lebih berteraskan agenda agama dan Melayu, justeru DAP perlu memastikan kerajaan yang ada sekarang terus mengekalkan pendekatan politik berbilang kaum.

Beliau berkata, pengalaman 2018 apabila kerajaan hanya mampu bertahan selama 22 bulan sepatutnya menjadi pengajaran kepada parti supaya tidak mengambil keputusan yang boleh sekali lagi membawa kepada ketidakstabilan politik.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan hari ini telah menunjukkan ketahanan lebih baik dengan mampu bertahan kira-kira tiga tahun lapan bulan, dan pencapaian itu tidak seharusnya dipertaruhkan.

“DAP mesti kekal dalam kerajaan semasa untuk memastikan kesinambungan, kestabilan dan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ngah Ngah mengingatkan DAP dan PH masih memerlukan sokongan politik yang lebih luas untuk memastikan agenda berbilang kaum dapat dipertahankan dalam jangka panjang.

Katanya, sokongan daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak amat penting, selain keperluan kepada sebuah parti Melayu yang benar-benar boleh menyokong agenda politik berbilang kaum.

Menurutnya, jika DAP mengambil keputusan untuk keluar daripada kerajaan, parti itu berisiko kehilangan jaringan sokongan yang lebih luas dan akhirnya hanya bergantung kepada kekuatan sendiri.

“Kalau kita keluar, kita akan berpecah dan kedudukan kita akan menjadi lemah. Tinggal DAP sahaja,” katanya.

Tambah beliau, perwakilan perlu belajar daripada sejarah kerjasama politik DAP dengan Pas, termasuk pengalaman ketika kedua-dua parti pernah bekerjasama dalam pakatan politik sebelum hubungan itu berakhir.

Beliau berkata, DAP perlu berhati-hati dalam membuat keputusan kali ini kerana kesannya bukan hanya kepada kedudukan parti, tetapi turut menentukan arah politik Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Justeru, beliau menyeru perwakilan supaya menyokong pendirian untuk mengekalkan DAP dalam Kerajaan Perpaduan demi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan agenda negara.

Menurutnya, keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan jangka panjang Malaysia dan bukan semata-mata berdasarkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan atau mana-mana pemimpin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast