Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pergulungan sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2026.

AYER KEROH – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, khidmat Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun masih diperlukan parti meskipun Pakatan Harapan (PH) tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, awal bulan lalu.

Beliau berkata, pengalaman Aminuddin sebagai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan amat berguna untuk membimbing barisan kepimpinan muda selain membantu memperkukuh parti.

Menurutnya, beliau turut menghormati sikap Aminuddin yang menerima kekalahan dengan sabar dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

“Kita tidak dapat memuaskan semua pihak. Ada yang kurang berhasil dan kalah dalam pertarungan.

“Tetapi, penghormatan saya dan kebanggaan saya terhadap beliau lebih tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Anwar yang menyifatkan Aminuddin sebagai kawan baik berkata, sikap yang ditunjukkan bekas Menteri Besar itu wajar dijadikan teladan oleh seluruh anggota parti.

Katanya, Aminuddin dalam ucapan penggulungannya turut mengambil tanggungjawab atas kekalahan PKR dan PH pada PRN Negeri Sembilan.

Untuk rekod PRN berkenaan menyaksikan BN dan PN memenangi 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekaligus mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan daripada PH.

Aminuddin turut tewas di kerusi DUN Linggi.

PKR hanya memenangi dua daripada 16 kerusi yang ditandinginya, manakala DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi.

Amanah pula gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN berkenaan.

Susulan keputusan itu, enam bahagian PKR di Negeri Sembilan dilaporkan mendesak Aminuddin supaya berundur sebagai Pengerusi PKR negeri.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan, pengalaman dan khidmat Aminuddin masih mempunyai nilai besar untuk parti, khususnya dalam memastikan kesinambungan kepimpinan serta memperkukuh PKR pada masa depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast