Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto AIZAT ZAINAL, 16 OGOS 2026.

AYER KEROH – Pengalaman hubungan politik yang pernah terjalin dan berakhir antara parti Melayu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membina kerjasama baharu demi menghadapi cabaran politik negara, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau secara sinis mengumpamakan hubungan politik antara parti-parti berkenaan seperti pasangan yang pernah berkahwin dan bercerai, namun kembali bersatu atas kepentingan tertentu.

Menurut Amirudin, sejarah menunjukkan usaha penyatuan antara parti Melayu bukan perkara baharu, malah pernah berlaku pada era 1970-an dan 1990-an.

“Kedua-duanya pernah berkahwin. Tahun 70-an dan tahun 90-an, mereka pernah berpakat dan bergabung. Kahwin dan kemudian bercerai.

“Ini tiga (kali berkahwin), takkan bercerai lagi, terserah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di sini, hari ini.

Amirudin berkata, walaupun perkembangan politik semasa mungkin dilihat sukar dan mustahil untuk dihadapi, beliau yakin PKR mampu terus berdepan cabaran itu dengan kekuatan perjuangan reformasi.

Katanya, PKR tidak boleh berundur daripada perjuangan untuk membina politik yang menjamin keadilan kepada semua termasuk Melayu, Cina, India, Kristian, Buddha dan Hindu.

“Walaupun nampak sukar, walaupun nampak mustahil, saya yakin kita boleh lakukan kerana apa yang disebut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ‘I am a fighter’.

“Dan hari ini mari kita sambung seluas ini, we all are fighters,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin mengingatkan anggota PKR supaya tidak terperangkap dengan politik berasaskan kaum sehingga usaha menyatukan rakyat menjadi semakin sukar.

Beliau berkata, perjuangan parti perlu kekal berteraskan keadilan dan reformasi, selain memastikan PKR mampu merentasi tembok perkauman dalam mendepani perubahan politik negara.

Amirudin turut menyeru seluruh anggota parti supaya terus memperkukuh jentera dan bersiap menghadapi cabaran politik mendatang dengan tidak hanya bersemangat ketika pilihan raya, sebaliknya meneruskan perjuangan reformasi secara berterusan.

“Kita adalah parti yang menunjukkan menukar arus. Kita berada dalam gelombang terakhir dan angkatan terakhir. Saya percaya kita boleh lakukan kerana kita lawan terbaik.

“Semangat yang perlu ada bukan hanya lawan pilihan raya, lawan tetap lawan. Kita sudah jelas siapa yang kena lawan dan apa yang kena tuntut. Inilah dia reformasi yang perlu kita lakukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here