Solihan Badri

JOHOR BAHRU – Kerajaan Madani perlu mempertimbangkan pemberian diskaun tol kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang terjejas akibat projek pelebaran laluan antara Senai Utara hingga Simpang Renggam.

Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor, Mohd Solihan Badri berkata, tawaran itu sebagai langkah meringankan beban pengguna yang terpaksa berdepan kesesakan dalam tempoh panjang sehingga projek dijangka siap pada suku ketiga 2028.

“Cadangan ini sekurang-kurangnya dapat membuktikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berusaha merealisasikan sebahagian daripada aspirasi manifesto Pakatan Harapan (PH) berkaitan isu tol, walaupun pemansuhan keseluruhan tol belum dapat dilaksanakan.

“Kalau belum mampu memansuhkan tol sepenuhnya, sekurang-kurangnya Kerajaan Madani boleh mempertimbangkan pengurangan kadar tol di laluan yang penggunaannya terjejas teruk akibat projek. Ini satu langkah yang praktikal dan boleh dirasai secara langsung oleh rakyat.

“Pengguna membayar tol untuk mendapatkan perjalanan yang selamat, lancar dan selesa. Tetapi apabila mereka terpaksa berdepan kesesakan sehingga berjam-jam akibat kerja-kerja pembinaan, wajar ada pertimbangan semula terhadap kadar yang dikenakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, projek pelebaran lebuh raya daripada dua kepada tiga lorong sememangnya penting bagi meningkatkan kapasiti dan kecekapan jaringan lebuh raya di negeri ini dalam jangka panjang.

Katanya, pengguna yang berulang-alik setiap hari bukan sahaja kehilangan masa, malah terpaksa menanggung kos petrol yang lebih tinggi, tekanan akibat perjalanan panjang serta risiko keselamatan meningkat apabila melalui zon kerja pembinaan.

“Rakyat faham projek ini dilaksanakan untuk memberikan keselesaan pada masa hadapan. Tetapi sepanjang tempoh pembinaan, mereka juga sedang ‘berjuang’ menghadapi kesesakan setiap kali menggunakan laluan tersebut,” ujarnya.

Justeru katanya, kerajaan dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) perlu menunjukkan simpati serta penghargaan terhadap kesabaran pengguna.

Beliau berkata, insentif itu tidak semestinya dalam bentuk bayaran tunai atau pampasan secara langsung.

“PLUS boleh meneroka pelbagai mekanisme yang praktikal, termasuk pengurangan kadar tol, rebat perjalanan atau bentuk insentif lain yang bersesuaian sepanjang tempoh projek,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Solihan menggesa kerajaan negeri turut mengambil pendirian lebih aktif dalam membawa isu berkenaan kepada Kerajaan Persekutuan dan PLUS.

Tambahnya, tidak salah kerajaan negeri bersuara dan memperjuangkan kepentingan rakyat yang merupakan antara pengguna paling ramai menggunakan jaringan lebuh raya di negeri ini, termasuk bagi tujuan pekerjaan, perniagaan, logistik, pendidikan dan urusan harian.

“Kerajaan negeri boleh menjadi jambatan antara suara pengguna dengan kerajaan Persekutuan dan PLUS supaya satu mekanisme bantuan atau insentif yang munasabah dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau turut berpandangan, pertambahan portfolio pentadbiran kerajaan negeri, termasuk pelantikan timbalan Exco, sepatutnya dapat memperkukuhkan lagi pemantauan dan tindak balas kerajaan negeri terhadap isu yang memberi kesan langsung kepada rakyat termasuk isu berkaitan kesan projek pelebaran lebuh raya bagi laluan di sebelah Johor.

Mohd Solihan turut meminta aspek keselamatan diberi perhatian serius sepanjang tempoh projek, terutama di kawasan yang mengalami kesesakan dan perubahan aliran trafik.

Pada masa sama, beliau berkata, isu kesesakan berpanjangan itu turut perlu dilihat dari sudut kesannya kepada sektor pelancongan Johor, khususnya dalam konteks Tahun Melawat Johor 2026.

“Berdasarkan maklum balas pengguna dalam media sosial yang sering saya ikuti, ada pengunjung yang menyatakan kesesakan di laluan berkenaan menjadi antara faktor yang menyebabkan mereka keberatan untuk datang ke Johor, khususnya Johor Bahru.

“Ini sesuatu yang perlu diberi perhatian. Kita sedang berusaha menarik lebih ramai pelancong ke Johor. Jangan sampai pengalaman perjalanan yang terlalu lama dan meletihkan menjadi salah satu faktor yang menjejaskan persepsi mereka terhadap negeri kita,” katanya.

Menurutnya, sudah sampai masanya berfikir di luar kotak dan Kerajaan Madani dan PLUS perlu mencari satu bentuk insentif yang adil, manakala kerajaan negeri pula perlu tampil bersuara demi kepentingan rakyat. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast