DOHA – Qatar menafikan dakwaan negara itu telah menahan juruterbang Iran dan menyifatkan tuduhan terhada negara ini sebagai mengelirukan ketika usaha diplomatik sedang dijalankan bagi meredakan ketegangan serantau.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed Al Ansari berkata, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai penahanan juruterbang Iran dan rasa terkejut tuduhan tersebut.
“Kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tersebar mengenai penahanan juruterbang Iran dan terkejut dengan kenyataan yang mengelirukan ini pada ketika ini,” katanya dalam hantaran di platform media sosial X.
Al Ansari berkata, pihak berkuasa telah menghubungi juruterbang terbabit selepas mereka menceroboh ruang udara Qatar dan mengesahkan trajektori serangan.
“Selepas mematuhi peraturan pertempuran dan cuba berkomunikasi dengan mereka tanpa menerima sebarang maklum balas, langkah-langkah yang perlu telah diambil bagi mempertahankan wilayah kami selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, keadaan berkenaan telah dijelaskan pada ketika itu melalui saluran rasmi.
Jurucakap itu berkata, pasukan mencari dan menyelamat Qatar kemudiannya menjalankan operasi bagi mencari mayat juruterbang terbabit.
Katanya, Qatar turut berkomunikasi dengan Iran bagi menyelaraskan penyerahan mayat seorang juruterbang yang ditemui.
Seorang komander tentera Iran mendakwa pasukan Qatar telah menangkap tiga juruterbang Iran selepas pesawat pejuang mereka ditembak jatuh ketika dalam perjalanan pulang daripada misi ketenteraan terhadap sebuah pangkalan Amerika Syarikat di Qatar pada Mac lalu.
Ketiga-tiga lelaki itu dikatakan telah ditahan hampir enam bulan tanpa sebarang hubungan dengan keluarga atau pegawai Iran.
Juruterbang berkenaan ialah Javad Salehi, Abdolmajid Dashtian dan Omran Behraveshian.
Pesawat pejuang Su-24 yang mereka naiki ditembak jatuh pada 2 Mac ketika dalam perjalanan pulang selepas menjalankan misi menyasarkan Pangkalan Udara Al Udeid milik Amerika Syarikat di Qatar.
Kedua-dua pesawat itu terhempas di atau berhampiran wilayah Qatar selepas disasarkan oleh sistem pertahanan udara.
Seorang lagi juruterbang, Majid Kazemi, terbunuh dan mayatnya dipulangkan ke Iran pada akhir Julai.
Pegawai Iran sebelum ini berkata, nasib tiga juruterbang yang lain masih tidak diketahui.
Kini, mereka secara terbuka menuntut penjelasan.
Pada 28 Februari, Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan bersama terhadap Tehran dan beberapa bandar lain di Iran, yang mengorbankan Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei, selain komander tentera dan orang awam.
Iran bertindak balas dengan melancarkan beberapa gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset Amerika Syarikat di rantau berkenaan. – AFP
















