Screenshot

PUTRAJAYA – DAP menolak dakwaan bahawa parti itu menggunakan Persidangan DAP 2026 untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan ‘agenda DAP’.

Setiausaha Agungnya, Anthony Loke menegaskan, reformasi yang diperjuangkan parti itu sebenarnya adalah agenda bersama yang telah dipersetujui Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, antara perkara yang dipersetujui termasuk pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta usaha memerangi rasuah.

“Agenda DAP adalah agenda yang dipersetujui bersama dalam Pakatan Harapan (PH) dan dipersetujui bersama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jadi ada beberapa reformasi yang telah pun dipersetujui yang kita harap dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya pada sidang media selepas Persidangan DAP 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Menurut Anthony, isu pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan perjuangan eksklusif DAP kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada agenda reformasi kerajaan.

“Begitu juga cadangan mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada dua penggal dan usaha membanteras rasuah merupakan agenda bersama,” katanya.

Beliau berkata, DAP tidak seharusnya dilihat cuba memaksa kerajaan melaksanakan tuntutan parti kerana perkara tersebut telah melalui proses perbincangan dalam kerajaan.

“Ini bukannya agenda DAP semata-mata. Ini adalah agenda bersama yang telah dipersetujui, janji-janji yang telah dipersetujui melalui manifesto semasa pilihan raya yang lalu,” katanya.

Anthony berkata, DAP akan terus membawa pandangan akar umbi melalui saluran Kabinet dan kepimpinan kerajaan, bukannya menjadikan media sebagai medan untuk membincangkan semua perkara secara terbuka.

“Kami sebahagian daripada kerajaan, kami sebahagian daripada Kabinet.

“Sudah tentu kami akan membawa semua aspirasi dan maklum balas daripada kawasan raya kembali kepada kerajaan melalui saluran Kabinet,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast