KUALA LUMPUR – DAP perlu kembali bersuara lebih lantang dalam kerajaan dan menggunakan tempoh 18 bulan akan datang untuk memulihkan keyakinan serta kredibiliti parti di mata rakyat, kata wakil Wilayah Persekutuan, Sangeet Kaur Deo.
Beliau berkata, DAP wajar kekal dalam Kerajaan Perpaduan buat masa ini, namun keputusan itu tidak seharusnya dibuat semata-mata atas alasan mahu memastikan kestabilan kerajaan atau meneruskan agenda reformasi.
Sebaliknya, kata beliau, DAP memerlukan tempoh berkenaan untuk membina semula kepercayaan terhadap parti dan menunjukkan kepada rakyat DAP masih mempunyai suara serta pendirian yang jelas dalam kerajaan.
“Jawapan ringkasnya ialah kita kekal buat masa ini, tetapi sebab kita kekal berbeza daripada sebab-sebab yang anda dengar hari ini,” katanya ketika membahaskan usul mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan pada Persidangan DAP 2026 di sini hari ini.
Sangeet berkata ,beliau memahami hujah DAP tidak sepatutnya menggugat kestabilan kerajaan, terutama ketika pilihan raya umum semakin hampir.
Namun, katanya, parti tidak boleh menjadikan kestabilan sebagai alasan untuk terus berdiam diri dalam isu yang menjadi perhatian rakyat.
“Kita patut kekal kerana DAP perlukan bulan-bulan ini untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan terhadap parti ini,” ujarnya.
Beliau berkata, walaupun menteri-menteri DAP telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan pembaharuan di peringkat kementerian, parti tidak boleh mengabaikan masalah lebih besar yang menjejaskan persepsi rakyat terhadap DAP.
Menurutnya, dalam terlalu banyak isu, DAP memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu mengganggu keadaan, sedangkan pendekatan itu akhirnya menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi.
“Dan apa yang para pengundi katakan? Di mana DAP? Di mana suara anda? Mengapa anda berdiam diri?” soal beliau sambil diberikan tepukan gemuruh.
Sangeet turut membangkitkan keadaan politik negara yang menurutnya semakin berpecah mengikut garis perkauman, selain isu berkaitan rasuah yang terus menimbulkan kebimbangan.
Beliau berkata, DAP sebelum ini datang ke tampuk kuasa dengan janji untuk membantu menghapuskan rasuah, justeru parti tidak boleh mengabaikan perkembangan yang dilihat bercanggah dengan harapan tersebut.
Dalam pada itu, Sangeet turut mempersoalkan hubungan DAP dengan UMNO yang menurutnya masih menyaksikan serangan terbuka terhadap DAP walaupun kedua-dua parti bekerjasama di peringkat Persekutuan.
“UMNO secara terbuka menyerang kita. Di peringkat Persekutuan, kita sepatutnya bekerjasama dengan mereka. Adakah ini rakan gabungan yang benar-benar boleh kita bekerjasama dengannya?” katanya.
Beliau turut meminta Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) menilai semula hubungan DAP dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk kesannya terhadap hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Sangeet mendakwa, Anwar telah bertindak melemahkan PH dengan menguatkan UMNO selain memberikan ruang lebih besar kepada parti tersebut.
“Daripada menyatakan rakan-rakan gabungan, beliau telah melambaikan sesama kata sendiri, kita tidak mampu mengabaikan perkara itu,” katanya lagi.
Pada masa sama, Sangeet menolak pendekatan untuk mempertahankan kedudukan DAP dalam kerajaan hanya dengan alasan parti masih mahu mencapai reformasi yang dijanjikan.
Katanya, selepas kira-kira tiga tahun setengah dalam kerajaan, alasan berkenaan perlu dinilai semula kerana sekiranya reformasi itu sudah berjaya dilaksanakan, ia tidak sepatutnya terus dijadikan asas untuk kekal dalam kerajaan.
Sebaliknya, beliau mahu DAP menggunakan baki 18 bulan untuk mengukuhkan parti, lebih berani bersuara ketika masih berada dalam kerajaan dan mendapatkan semula keyakinan rakyat.
“Kekal dalam kerajaan, cari suara yang lain, bersuara ketika kita masih di sana,” katanya.
Sangeet berkata, pendekatan itu penting kerana jika DAP akhirnya perlu kembali menjadi pembangkang, parti sekurang-kurangnya sudah mempunyai asas kredibiliti yang lebih kukuh.
“Dan jika kita perlu menjadi pembangkang lagi, sekurang-kurangnya kita telah meletakkan asas dan mendapatkan semula kredibiliti,” tegasnya.
Beliau sekali lagi menegaskan pendiriannya DAP perlu kekal dalam kerajaan buat masa ini, tetapi dengan tujuan yang berbeza bukan untuk terus berdiam diri, sebaliknya menggunakan tempoh berkenaan untuk mengembalikan suara, keyakinan dan kredibiliti parti. -MalaysiaGazette















