Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menyampaikan ucapan pergulungan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh. Foto MOHD ADZLAN, 16 OGOS 2026.

AYER KEROH – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mula membina generasi pemimpin baharu yang mampu meneruskan agenda reformasi dan menerajui negara selepas era Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, PKR tidak seharusnya menunggu sehingga Anwar memutuskan untuk berundur sebelum mencari pengganti, sebaliknya proses mengenal pasti dan membangunkan bakat kepimpinan perlu dimulakan dari sekarang.

“Apabila saya bertanya, ‘Who’s next after Anwar’, saya sebenarnya tidak mencari satu nama. Saya mahu kita membina satu generasi.

“Generasi pemimpin yang faham perjuangan reformasi, yang bersih, kompeten dan berani, yang memahami ekonomi dan keresahan rakyat dan paling penting, yang bersedia memimpin Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kongres PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Menurut Zaliha, PKR perlu berani melihat jauh ke hadapan dalam soal kepimpinan selepas Anwar berjaya mencapai matlamat perjuangan terdahulu untuk membawa parti ke Putrajaya.

Katanya, usaha membangunkan pelapis juga selari dengan prinsip reformasi yang diperjuangkan PKR, termasuk cadangan mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

“Kalau kita percaya kuasa Perdana Menteri sendiri mesti mempunyai had, maka kita juga mesti berfikir jauh tentang pelapis kepimpinan negara dan parti.

“Jangan tunggu satu hari nanti Presiden (Anwar) berkata sudah sampai masanya untuk berundur, kemudian barulah kita tercari-cari siapa yang bersedia. Pada waktu itu, kita sudah terlambat,” ujarnya.

Zaliha berkata, PKR perlu mengenal pasti bakat baharu dan memberi mereka latihan, pendedahan serta tanggungjawab supaya potensi kepimpinan dapat dikembangkan dari peringkat akar umbi.

Katanya, ruang kepimpinan perlu dibuka seluas-luasnya kepada anggota cabang, Wanita PKR, Pemuda PKR, golongan profesional, aktivis masyarakat dan anggota biasa.

“Mulakan dari sekarang. Kita kena kenal pasti dan ‘tap on potentials‘ yang ada. Beri latihan dan pendedahan, buka ruang dan berikan tanggungjawab.

“Perkaderan (proses mempersiapkan anggota menjadi pemimpin) itu bukan patut bermula hari ini, kita sudah patut mulakan 20 tahun dahulu. Tetapi tak apa, ‘better late than never‘,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here