KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman seorang anggota polis peronda kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM14,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas pengguna-pengguna lebuh raya Pantai Timur 2 yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Perintah reman selama lima hari sehingga 20 Ogos ini terhadap suspek itu dikeluarkan Majistret Ellyna Othman selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pahang.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut bersama seorang lagi juga pegawai polis peronda dari Januari hingga Julai 2026.
“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga yang dipercayai digunakan suspek,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pegawai polis peronda lelaki juga berusia lingkungan 30-an yang ditahan reman sebelum ini disambung reman selama empat hari sehingga 19 Ogos ini.
Perintah lanjutan reman tersebut telah dikeluarkan Majistret Ellyna Othman di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi selepas permohonan reman pertama ke atas pegawai polis tersebut berakhir hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette
















