Pengerusi DAP Cawangan Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen

PUTRAJAYA – DAP perlu mengakui tadbir urus yang baik sahaja tidak mencukupi untuk memenangi pilihan raya akan datang, sebaliknya parti perlu melakukan muhasabah dan menyusun semula strategi politiknya, kata perwakilan Selangor, Muhammad Shakir Ameer Mohideen.

Beliau berkata, DAP perlu kekal dalam kabinet Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, namun pada masa sama menggunakan tempoh yang ada untuk memperbaiki kelemahan dan membina semula keyakinan pengundi.

Menurutnya, kejayaan mentadbir negara perlu disusuli keupayaan menyampaikan pencapaian kerajaan dengan naratif yang difahami serta diterima rakyat.

“Tadbir urus yang baik sahaja tidak mencukupi. Kita perlu melihat kepada naratif, jenama dan bagaimana kita menyampaikan apa yang telah kita lakukan kepada rakyat,” katanya ketika membahaskan usul kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan pada Persidangan DAP 2026 di sini hari ini.

Shakir berkata, pengalaman DAP sejak 2008 menunjukkan parti telah melalui beberapa fasa penting, daripada mula belajar mentadbir di Selangor dan Pulau Pinang, membentuk Kerajaan Persekutuan pada 2018, sebelum berdepan kejatuhan kerajaan akibat Langkah Sheraton pada 2020.

Katanya, pengalaman tersebut sepatutnya menjadi pengajaran yang mana DAP bukan sahaja perlu belajar mentadbir, tetapi turut perlu memahami bagaimana untuk bergerak dalam landskap politik yang sentiasa berubah.

Beliau berkata, kemerosotan prestasi parti di beberapa negeri termasuk Sabah, Johor dan Negeri Sembilan tidak seharusnya menyebabkan DAP panik atau berputus asa kerana masih ada masa untuk memperbaiki pendekatan.

Sebaliknya, katanya, parti perlu melakukan re-strategize dan mencari pendekatan baharu untuk menghadapi perubahan corak pengundian.

Shakir turut mengingatkan demografi pengundi negara sedang berubah, termasuk peningkatan nisbah pengundi Melayu berbanding pengundi bukan Melayu.

Justeru, katanya, DAP perlu berani ‘membuka pasaran baharu’ dengan memahami dengan lebih mendalam keperluan, kebimbangan dan aspirasi segmen pengundi lebih luas, termasuk masyarakat Melayu.

Beliau berkata, DAP juga perlu membina naratif lebih kuat bagi menangkis politik berasaskan kaum dengan menawarkan mesej yang berteraskan dasar, pembinaan negara dan perpaduan nasional.

Dalam masa sama, Shakir berkata, DAP perlu memberi perhatian serius kepada kekuatan jenama Pakatan Harapan (PH) kerana parti bertanding dalam pilihan raya di bawah payung gabungan berkenaan.

Katanya, kelemahan mana-mana parti dalam gabungan akhirnya boleh memberi kesan kepada keseluruhan PH , justeru usaha memperkukuh jenama gabungan perlu berjalan seiring dengan usaha mengukuhkan DAP.

Beliau berkata, DAP tidak boleh hanya bergantung kepada rekod pentadbiran untuk mendapatkan sokongan rakyat, sebaliknya perlu memastikan rakyat benar-benar memahami apa yang telah dilakukan kerajaan.

Menurutnya, keputusan untuk kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal perlu disertai usaha serius melakukan muhasabah dan menyusun strategi menghadapi pilihan raya akan datang.

Shakir kemudian menyeru perwakilan menyokong usul supaya DAP terus berada dalam Kerajaan Perpaduan, sambil menggunakan baki tempoh pentadbiran untuk memperkukuh parti dan memperluas sokongan.

Beliau menegaskan cabaran DAP bukan sekadar bagaimana untuk mentadbir dengan baik, tetapi bagaimana memastikan rakyat memahami hasil pentadbiran itu dan memberi mandat sekali lagi kepada parti pada pilihan raya akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast