KUALA LUMPUR – Prosiding saman sivil AS$5.64 bilion yang difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan enam individu lain hari ini diteruskan dengan pemeriksaan balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Mohamad Redzuan Idrus sebelum itu memutuskan Shahrol Azral tidak perlu membaca semula keseluruhan pernyataan saksinya setebal 168 muka surat.
Sebaliknya, peguam yang mewakili setiap defendan dibenarkan mengemukakan soalan tambahan dalam pemeriksaan balas, dengan tempoh 30 minit diberikan kepada setiap peguam.
Mahkamah turut memutuskan kebolehterimaan jawapan yang dibantah akan ditentukan satu demi satu pada peringkat kemudian.
“Mahkamah akan menentukan kebolehterimaan setiap jawapan yang dibantah satu demi satu pada peringkat kemudian.
“Sementara itu, bahagian yang tidak dibantah diterima sebagai keterangan, manakala bahagian yang dibantah diterima secara provisi, tanpa menjejaskan bantahan pihak pembelaan dan di bawah Seksyen 156 Akta Keterangan 1950,” katanya.
Pemeriksaan balas dimulakan peguam Nur Syafinaz Vani Abdullah mewakili defendan kelima bekas Pengarah Pelaburan dan Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Vincent Beng Huat Koh, diikuti peguam GK Ganesan yang mewakili defendan ketujuh, iaitu bekas pengarah pelaburan 1MDB, Kelvin Tan.
Prosiding hari ini susulan bantahan terhadap kira-kira 80 peratus daripada pernyataan saksi Shahrol Azral atas alasan ia mengandungi keterangan dengar cakap (hearsay).
Bantahan itu dikemukakan oleh Najib selaku defendan pertama dalam saman sivil berkenaan.
Dalam saman yang difailkan pada 7 Mei 2021, 1MDB bersama anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, menamakan tujuh individu sebagai defendan.
Mereka ialah Najib; bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang Keng Chee; bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Vincent Beng Huat Koh; bekas Ketua Pegawai Operasi, Radhi Mohamad; bekas Pengarah Pelaburan, Kelvin Tan Kay Jim; dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Nik Faisal Ariff Kamil.
Menurut writ saman, plaintif antara lain mendakwa para defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan berkanun, menyalahgunakan kuasa serta berpakat untuk menyalahgunakan dana 1MDB. – MalaysiaGazette
















