Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta 2026 kembali di Festival Budaya Malaysia 2026 yang akan berlangsung dari 11 hingga 16 September 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 kembali untuk edisi kedua dengan skala lebih besar di Festival Budaya Malaysia 2026 bermula 11 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa bersempena sambutan Hari Malaysia 2026.

Bertemakan ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’, AMFF 2026 anjuran Raydiates Blue Sdn Bhd (Raydiates) yang berkolaborasi dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) masih mengekalkan makanan sebagai teras utama namun ia diperluaskan kepada pengalaman gaya hidup moden yang lebih interaktif.

Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates, Rayme Zainal berkata, AMFF kali ini menggabungkan lebih 80 vendor fokus kepada gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta aktiviti komuniti dalam satu festival enam hari yang meraikan kepelbagaian Malaysia.

“Budaya tidak lagi hanya dipamerkan tetapi dihidupkan melalui makanan, muzik, gaya, aktiviti keluarga dan komuniti di mana AMFF 2026 bertujuan memperkukuhkan peranannya sebagai platform yang menghubungkan makanan dengan budaya dan gaya hidup rakyat Malaysia.

“Tahun ini kami mahu membawa pengalaman itu lebih jauh di mana makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti menjadi satu identiti bersama dengan semangat ‘Kita Malaysia’ sempena Festival Budaya Malaysia dan Hari Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

AMFF 2026 masih mengekalkan makanan sebagai teras utama.

AMFF 2026 akan menampilkan melalui lima pengalaman utama iaitu Taste Malaysia, Move Malaysia, Style Malaysia, Play Malaysia dan Celebrate Malaysia, menjadikan pengunjung sebahagian daripada pengalaman festival, bukan sekadar penonton.

Sepanjang festival, pengunjung boleh menikmati Foodie Fiesta, demonstrasi masakan, Cultural Jam, persembahan tradisional dan kontemporari, aktiviti keluarga, program kecergasan serta aktivasi jenama dan gaya hidup.

AMFF turut bekerjasama dengan SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day, memperkukuhkan elemen kecantikan, gaya hidup dan kecergasan dalam keseluruhan pengalaman festival.

Antara acara utama ialah Malam Kita Malaysia  pada 15 September 2026 iaitu sebuah mini konsert khas yang menyatukan muzik, seni dan budaya sempena Ambang Hari Malaysia.

Sambutan diteruskan pada 16 September 2026 menerusi SimplyFit Zumba Malaysia Day serta program kecergasan, keluarga dan komuniti bersempena Hari Malaysia.

Mengulas lanjut, Rayme berkata, siri kedua AMFF 2026 akan diteruskan ke MAEPS, Serdang dari 9 hingga 11 Oktober 2026 sempena MySihat Expo 2026 dengan fokus yang berbeza merangkumi gastronomi, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan, gaya hidup dan hiburan.

Katanya, Raydiates akan  bekerjasama dengan beberapa rakan strategik antaranya Moonman Event bagi HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 serta Event Lab di bawah Malaysia Strategic Development Institute (MSDI) bagi FRAGMANIA.

“Gabungan ini mewujudkan sebuah ekosistem tiga hari yang mempertemukan 600 vendor makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan, kecergasan, hiburan dan komuniti dalam satu destinasi.

“Di MAEPS, AMFF membuka satu lagi dimensi yang melangkaui pengalaman gastronomi semata-mata di mana ia berkembang daripada Foodie Fiesta kepada sebuah pengalaman gaya hidup yang lebih menyeluruh.

“Makanan tetap menjadi nadi AMFF, tetapi kali ini ia bertemu dengan kesihatan, kecergasan, kesejahteraan mental, muzik dan komuniti,” katanya. – MalaysiaGazette

Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 kembali untuk edisi kedua di Festival Budaya Malaysia 2026 dan MySihat Expo 2026.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here