KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, memberitahu Mahkamah Tinggi beliau tidak tahu mengapa namanya digugurkan daripada saman sivil bernilai AS$5.64 bilion yang difailkan syarikat tersebut.
Saksi plaintif keempat itu turut menegaskan bahawa beliau tidak membuat sebarang perjanjian dengan kerajaan bagi membolehkan namanya dikeluarkan daripada saman berkenaan.
Ganesan: Anda pada asalnya dinamakan sebagai defendan dalam tindakan ini?
Shahrol Azral: Betul.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam GK Ganesan yang mewakili bekas Pengarah Pelaburan 1MDB, Kelvin Tan Kay Jin, defendan ketujuh dalam saman berkenaan.
Ganesan kemudian bertanya sama ada beliau menandatangani sebarang penghakiman persetujuan dengan 1MDB selepas dikeluarkan sebagai defendan.
Shahrol Azral menegaskan beliau tidak pernah membuat sebarang perjanjian sedemikian dengan syarikat berkenaan.
Beliau turut menafikan cadangan peguam defendan kelima, bekas Pengarah Pelaburan dan Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Vincent Beng Huat Koh, Nur Syafinaz Vani Abdullah, bahawa beliau cuba mengalihkan kesalahan kepada pihak lain bagi membersihkan dirinya dalam skandal dana kekayaan negara bernilai berbilion ringgit itu.
1MDB dan anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman sivil itu pada 7 Mei 2021.
Syarikat itu menamakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Pengarah Kewangan 1MDB, Terrence Geh Choh Heng; bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang Keng Chee; bekas Penasihat Undang-Undang, Jasmine Loo Ai Swan; Vincent Beng; bekas Ketua Pegawai Kewangan, Radhi Mohamad; Kelvin Tan dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan, Nik Faisal Ariff Kamil, sebagai defendan.
Minggu lalu, 1MDB menggugurkan saman sivil terhadap Radhi tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman berkenaan.
Syarikat itu sebelum ini turut menggugurkan Loo daripada kes tersebut.
Menurut writ saman, plaintif antara lain mendakwa defendan melakukan pecah amanah, pelanggaran kewajipan berkanun, penyalahgunaan kuasa dan konspirasi untuk menyeleweng dana 1MDB.
Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Redzuan Idrus, bersambung pada Selasa. – MalaysiaGazette















