KUALA LUMPUR – Kualiti udara di Johan Setia, Selangor mencatat tahap tidak sihat apabila Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah 137 pada jam 1 tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar, Azuri Azizah Saedon berkata, daripada 67 kawasan yang merekodkan bacaan IPU, lapan kawasan mencatatkan kualiti udara pada tahap baik dan 58 kawasan pada tahap sederhana.

Susulan peningkatan bacaan IPU di Johan Setia, JAS meningkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan berkenaan bagi memastikan tiada aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran udara.

JAS turut melaksanakan pemantauan dari udara menggunakan dron dalam lingkungan radius 500 meter dari lokasi rondaan, namun tidak menemukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

Pemantauan secara darat oleh pasukan JAS juga mendapati tiada aktiviti pembakaran terbuka di kawasan yang diperiksa.

Sebagai langkah pencegahan, JAS memasang banner larangan pembakaran terbuka di lokasi berkenaan bagi meningkatkan kesedaran awam dan menghalang aktiviti tersebut daripada berlaku.

“Secara keseluruhannya, hasil pemantauan dan rondaan JAS mendapati keadaan di kawasan Johan Setia adalah terkawal daripada sebarang aktiviti pembakaran terbuka pada masa pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JAS, rondaan dan pemantauan secara darat serta udara akan terus dipertingkatkan, selain bacaan IPU dipantau dari semasa ke semasa bagi mengenal pasti sebarang potensi sumber pencemaran dan mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) bertarikh 16 Ogos mendapati sebanyak 323 titik panas dikesan di Kalimantan, 61 di Sumatera dan satu titik panas dikesan di Malaysia, iaitu di Pahang.

Peta Jerebu Serantau ASMC pada 17 Ogos pula menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan.

Titik panas bertaburan dikesan di Kalimantan dengan kepulan asap sederhana hingga padat diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di kebanyakan kawasan berkenaan.

Beberapa titik panas turut dikesan secara terpencil di kawasan lain, manakala kepulan asap ringan hingga sederhana diperhatikan berpunca daripada titik panas di bahagian tengah Sumatera.

ASMC turut melaporkan beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Sumatera dan Kalimantan merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.

Bagaimanapun, liputan penuh situasi titik panas dan jerebu di rantau berkenaan tidak dapat ditentukan berikutan litupan awan.

Dalam pada itu, JAS memaklumkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian dipertingkatkan di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain pemantauan berterusan terhadap bacaan IPU.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan situasi jerebu.

JAS turut menasihatkan pemilik tanah supaya memantau kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah pencegahan daripada pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah dan premis mereka dicerobohi sehingga menyebabkan pembakaran terbuka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here