TEHRAN – Iran mengeluarkan amaran keras terhadap tentera Amerika Syarikat (AS) supaya meninggalkan rantau berkenaan kerana negara itu tidak akan membenarkan pangkalan yang bertujuan mengancam dan menyerang Tehran diwujudkan semula.
Bercakap dalam satu majlis penghargaan kepada wartawan, Panglima Tentera Republik Islam Iran, Mejar Jeneral Amir Hatami menegaskan, hakikatnya AS telah diusir dari rantau itu dan tidak lagi akan dibenarkan memasuki Teluk Parsi, Laut Oman atau Selat Hormuz.
“Semua pihak perlu tahu bahawa pangkalan AS sama sekali tidak boleh kembali kepada status sebelumnya, dan Iran tidak akan membenarkan pusat yang bertujuan mengancam kedaulatan serta integriti wilayah negara itu diwujudkan di kawasan kejiranannya,” jelas beliau sambil menegaskan bahawa satu-satunya jalan ke hadapan adalah AS meninggalkan rantau berkenaan.
Panglima tertinggi itu turut mengecam kenyataan terbaharu Presiden AS, dengan berkata, tindakan Trump yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada wilayah Amerika menunjukkan beliau masih berada dalam delusi dan berusaha keras untuk menggambarkan dirinya sebagai pemenang, namun gagal.
“Hari ini, hanya segelintir orang di dunia yang mempercayai Trump,” kata Hatami.
Beliau berkata, gambaran yang dipaparkan media Barat mengenai Presiden AS itu juga adalah sebagai seorang yang tewas, termasuk dakwaan beliau bersembunyi di dalam sebuah trak makanan kerana ketakutan dan meninggalkan anggota lain dalam delegasinya di dalam pesawat yang didakwa Perkhidmatan Rahsia AS berada di bawah ancaman.
Beliau turut merujuk kepada kekacauan luar biasa dalam ketenteraan AS serta laporan mengenai keadaan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln, dengan mendakwa kapal perang AS itu terkena bedilan Iran sekurang-kurangnya sekali sehingga menyebabkan jet pejuangnya tidak dapat diterbangkan.
“Sudah tentu, pihak Amerika tidak mengakuinya, tetapi kapal itu sedang berundur,” tambah beliau.
Mengimbas kejayaan ketenteraan Iran menentang musuhnya, beliau berkata, angkatan bersenjata negara itu kekal teguh dan berjaya menggagalkan rancangan musuh untuk memecahbelahkan negara, sama ada ketika Perang Pertahanan Suci selama lapan tahun mahupun Perang 12 Hari dan Perang 40 Hari yang dilancarkan oleh AS dan Israel.
Jeneral Hatami turut merujuk kepada dekri terbaharu yang dikeluarkan Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Sayyid Mojtaba Hosseini Khamenei, dengan berkata, sebarang peningkatan ketegangan ketenteraan di rantau itu hanya akan menjadikan Iran lebih bertekad untuk mempertahankan diri.
Mengulas dakwaan AS mengenai keupayaan ketenteraannya, beliau berkata, AS membangunkan kekuatannya selepas Perang Dunia Kedua melalui pemerasan dan tuntutan wang tebusan, namun perang dengan Iran telah mematahkan hegemoni tersebut.
Menurut beliau, AS kini tidak lagi memiliki kuasa seperti yang pernah dinikmatinya, manakala negara-negara yang sebelum ini bergantung kepada Washington kini mula memikirkan keselamatan mereka sendiri. – Agensi
















