Ketua UMNO Cawangan Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron diingatkan tidak terlalu angkuh dengan rekod kemenangan, sebaliknya perlu mengakui kejayaan pilihan raya sebelum ini hasil kerjasama antara jentera Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Cawangan Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, sejarah kemenangan kerusi itu perlu diperbetulkan agar tidak menimbulkan gambaran seolah-olah ia dicapai hasil kekuatan satu parti sahaja.

“Dari 2008 hingga 2023, kerusi itu dimenangi atas tiket PKR. Amanah hanya mula bertanding di Batu Tiga pada PRN15 (Pilihan Raya Negeri ke-15) itu pun ada sebab dalaman,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Danial merangkap Ketua Pemuda Amanah Selangor yang menggesa BN diusir keluar daripada Kerajaan Negeri Selangor sekiranya tidak mampu memberi sumbangan.

Menurut Danial, kemenangan PH di Selangor tidak akan terjejas sekiranya BN tidak lagi menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri.

Dendera juga berkata, kemenangan pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di Selangor tidak boleh dilihat sebagai kejayaan mana-mana parti secara bersendirian kerana ia berlaku dalam kerangka kerjasama Kerajaan Perpaduan.

Menurut Dendera, jentera PH dan BN, termasuk anggota UMNO, turut memainkan peranan membantu kempen di seluruh Selangor, termasuk di kawasan Batu Tiga.

“PRN15 juga kita menang bukan secara bersendirian. Kita menang di bawah payung Kerajaan Perpaduan.

“Jentera PH + BN termasuk rakan-rakan daripada UMNO turut turun membantu berkempen di seluruh Selangor termasuk Batu Tiga,” katanya.

Beliau juga memberi peringatan keras bahawa kejayaan memperoleh majoriti besar di Selangor tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana pemimpin mendakwa mereka tidak memerlukan bantuan parti atau rakan gabungan lain.

Tegasnya, kenyataan berbentuk ‘tak perlu bantuan sesiapa’ bukan sahaja boleh menyinggung perasaan jentera, bahkan berpotensi memecahbelahkan kekuatan gabungan menjelang pilihan raya akan datang.

“Politik ini tentang rakyat. Sikap terlalu ego dan angkuh dengan mengatakan ‘tak perlu bantuan sesiapa’ hanya akan memecahbelahkan jentera sendiri dan pengundi di kawasan Batu Tiga,” katanya.

Selain itu, Dendera memberi bayangan sikap itu boleh membawa implikasi terhadap masa depan politik wakil rakyat itu, khususnya ketika pemilihan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Jika inilah sikap yang ditunjukkan, percayalah rakyat Batu Tiga yang bijak akan menilai semula kedudukan Yang Berhormat jika masih mahu dicalonkan pada PRU akan datang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kemenangan dalam pilihan raya bukan hasil kehebatan individu semata-mata, sebaliknya hasil gabungan sokongan rakyat, kekuatan jentera serta kerjasama antara parti.

“Rendah diri itu lebih baik. Kita menang kerana rakyat, dan kerana kerja berpasukan. Bukan kerana hebat seorang-seorang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast