KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mencabar Pas membuktikan kemampuan mereka mentadbir negeri dengan mengemukakan dasar, angka dan pelan pembangunan yang jelas.
Cabaran itu dibuat susulan hasrat Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mahu menjadikan Selangor sebagai “titik mula” untuk menumbangkan Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan berkata, pihaknya tidak gentar dengan hasrat Pas dan PN untuk mengambil alih Selangor, malah mengalu-alukan persaingan secara demokratik.
Namun katanya, sebelum bercakap mengenai usaha menawan Selangor, Pas perlu menjawab persoalan utama mengenai tawaran mereka kepada rakyat negeri itu.
“Kalau benar mereka mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka sudah bersedia menjadi kerajaan, tunjukkan kesediaan itu melalui dasar dan perancangan yang jelas.
“Menjadi kerajaan bukan sekadar mempunyai jentera pilihan raya yang ramai atau memenuhi pentas ceramah.
“Ia memerlukan kemampuan mengurus hasil negeri, pembangunan, pelaburan, perumahan, pengangkutan, infrastruktur, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Pas yang kini mempunyai wakil dalam Dewan Negeri Selangor sepatutnya menggunakan kedudukan sebagai pembangkang untuk menawarkan alternatif kepada rakyat.
“Kalau belanjawan alternatif pun malas nak buat, tak perlulah sembang mahu tawan Selangor,” sinisnya.
Beliau berkata, jika Sanusi mahu membandingkan prestasi pentadbiran, Selangor bersedia berdepan perbandingan berdasarkan angka dan rekod sebenar.
Katanya, Selangor kekal sebagai antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia selain menjadi pusat penting bagi pelaburan, perindustrian, perdagangan dan peluang pekerjaan.
“Kalau Sanusi mahu membandingkan rekod pentadbiran, bandingkan Selangor dengan negeri-negeri yang ditadbir Pas dan biarkan angka serta rakyat sendiri membuat penilaian,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Shahrul berkata, Kerajaan Negeri Selangor baru membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030 yang menggariskan hala tuju pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Menurutnya, ketika Selangor memberi tumpuan kepada usaha mengembangkan ekonomi, meningkatkan pendapatan rakyat, menarik pelaburan dan memperkukuh pembangunan sehingga 2030, Pas pula dilihat lebih sibuk membincangkan usaha menumbangkan kerajaan.
“Kalau Pas benar-benar mahu menawarkan diri sebagai kerajaan alternatif, bawa dasar, bawa angka dan bawa pelan.
“Beritahu rakyat bagaimana Pas mahu mengurus ekonomi Selangor, meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan bernilai tinggi, mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi serta menyelesaikan isu perumahan, banjir, pengangkutan, infrastruktur dan kos sara hidup,” tambahnya.
Katanya lagi, rakyat Selangor mahu mengetahui apa yang Pas mampu lakukan dengan lebih baik, bukannya sekadar mendengar siapa yang parti itu mahu tumbangkan.
AMK Selangor, katanya, bersedia menerima kehadiran Pas dan PN untuk berkempen di seluruh negeri secara demokratik.
“Bentangkan rekod pentadbiran Pas dan negeri-negeri yang mereka tadbir, kemudian bandingkan dengan Selangor. Biar rakyat menjadi hakim,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad Shahrul mengingatkan Pas supaya tidak menggunakan politik perkauman sebagai pendekatan untuk mendapatkan sokongan di Selangor.
Katanya, negeri itu dibangunkan bersama rakyat daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang, termasuk Melayu, Cina dan India.
“Kepelbagaian tersebut bukan kelemahan Selangor, sebaliknya merupakan antara kekuatan terbesar negeri ini.
“Kita boleh bertarung mengenai dasar, ekonomi dan rekod pentadbiran. Kita boleh menawarkan penyelesaian yang berbeza dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan.
“Tetapi, jangan menjadikan kaum dan agama sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kuasa. Kalau Pas mahu menawan Selangor, lawanlah dengan idea, dasar dan prestasi,” katanya.
Beliau turut menegaskan, Selangor bukan batu loncatan kepada cita-cita politik mana-mana individu atau parti, sebaliknya sebuah negeri yang dihuni jutaan rakyat yang mahukan kestabilan, peluang ekonomi, pekerjaan dan kehidupan lebih baik.
“Daripada sibuk bercakap tentang mahu menumbangkan PH, PAS sepatutnya menggunakan kedudukan mereka sebagai pembangkang untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai alternatif yang lebih baik.
“Politik Selangor harus ditandingi dengan prestasi, dasar dan penyelesaian, bukan dengan sentimen perkauman atau sekadar slogan pertukaran kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















