KUALA LUMPUR – Kejayaan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menerima Sayap Penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bukan sekadar mencipta sejarah, malah membawa mesej penting kepada masyarakat mengenai nilai disiplin, ketekunan dan keberanian dalam mencapai kecemerlangan.
Pengurniaan Sayap Penerbangan TUDM kepada Tengku Hassanal membolehkan baginda mencipta sejarah sebagai kerabat diraja pertama negara menerima pengiktirafan berkenaan selepas berjaya menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter dengan cemerlang.
Pencapaian itu turut dilihat sebagai kebanggaan rakyat Pahang, selain mencerminkan ketekunan dan disiplin tinggi baginda sepanjang menjalani latihan ketenteraan yang mencabar.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, kejayaan tersebut wajar dilihat dari sudut lebih luas kerana ia menunjukkan bahawa kecemerlangan dalam bidang profesional menuntut usaha, komitmen dan ketahanan diri.
Menurutnya, Tengku Mahkota bukan sahaja mempunyai pengalaman dalam bidang ketenteraan termasuk bersama Pasukan Khas Udara (PASKAU), malah sanggup melalui latihan penerbangan yang memerlukan tahap disiplin dan fokus tinggi.
“Perjalanan ini bukan mudah dan memerlukan ketahanan mental, fokus serta disiplin yang tinggi. Apa yang lebih penting, pencapaian ini boleh menjadi contoh kepada masyarakat bahawa sesuatu kejayaan perlu dibina melalui usaha dan kesungguhan.
“Golongan muda khususnya boleh melihat pencapaian ini sebagai dorongan untuk berani mencabar diri, meneroka bidang baharu dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan kesukaran,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Media melaporkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris menegaskan kejayaan Tengku Mahkota Pahang bersama para pelatih lain menamatkan latihan adalah hasil ketekunan, semangat juang, ketahanan mental serta disiplin tinggi yang diterapkan sepanjang latihan.
Menurut beliau, di sebalik setiap kejayaan yang dicapai para graduan, terdapat ibu bapa dan ahli keluarga yang tidak pernah putus berdoa serta memberikan dorongan dan semangat sepanjang mereka menempuh latihan.
Daniel berkata, kenyataan tersebut turut memperlihatkan bahawa pencapaian seseorang tidak berlaku secara bersendirian, sebaliknya turut disokong oleh keluarga, tenaga pengajar dan mereka yang berada di sekeliling sepanjang proses membina kejayaan.
Katanya, aspek berkenaan penting untuk difahami masyarakat, khususnya golongan muda kerana kejayaan dalam pendidikan, kerjaya, sukan atau bidang profesional lain memerlukan sokongan, disiplin dan kesungguhan yang berterusan.
“Pengurniaan sayap ini bukan semata-mata satu pengiktirafan, tetapi membawa amanah dan tanggungjawab. Nilai seperti disiplin, keberanian dan ketahanan diri yang ditunjukkan sepanjang latihan boleh menjadi teladan kepada generasi muda,” katanya.
Sementara itu, Juara Polo Kebangsaan, Tengku Ahmad Shazril Ezzani Tengku Suleiman berkata, pencapaian Tengku Mahkota turut memberi inspirasi kepada komuniti sukan kerana tuntutan dalam latihan penerbangan mempunyai persamaan dengan dunia atlet profesional.
Katanya, kejayaan dalam sukan mahupun bidang ketenteraan memerlukan latihan berterusan, ketahanan mental dan fokus untuk mencapai tahap terbaik.

“Sama ada di gelanggang sukan atau dalam latihan penerbangan, semangat mengejar kecemerlangan tetap sama. Kita perlu berdisiplin, fokus dan bersedia menghadapi cabaran.
“Sikap untuk terus belajar dan mencabar kemampuan diri seperti ini wajar dicontohi, terutama oleh golongan muda yang sedang membina masa depan mereka,” katanya.
Tengku Ahmad Shazril Ezzani berkata, pencapaian Tengku Mahkota juga menunjukkan bahawa seseorang tidak seharusnya berhenti meningkatkan keupayaan diri walaupun sudah mempunyai pencapaian atau kedudukan dalam bidang tertentu.
Beliau bagi pihak komuniti polo kebangsaan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tengku Mahkota atas kejayaan menerima Sayap Penerbangan TUDM serta berharap pencapaian itu terus menjadi inspirasi kepada rakyat untuk mengejar kecemerlangan dan menyumbang kepada negara. – MalaysiaGazette
















