KUALA LUMPUR – Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 perlu menjadi titik perubahan besar dalam sejarah pendidikan tinggi negara dengan memastikan mahasiswa tidak lagi menjadi `mangsa’ hanya kerana berani bersuara, mengkritik dasar atau mengambil pendirian terhadap isu masyarakat.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat, Parti Amanah Negara (Amanah) Azli Yusof berkata, pihaknya menyambut baik dan menyokong langkah itu sambil menegaskan universiti seharusnya menjadi medan mahasiswa belajar mengemukakan pandangan dan berbeza pendapat.
“Mahasiswa tidak sepatutnya berdepan tindakan tatatertib semata-mata kerana pandangan politik atau pendirian mereka terhadap sesuatu isu masyarakat.
“Pemansuhan AUKU harus menjadi titik perubahan daripada budaya mengawal mahasiswa kepada budaya mempercayai dan memperkasa mahasiswa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, sejarah AUKU selama lebih lima dekad tidak boleh dipisahkan daripada pelbagai sekatan terhadap ruang mahasiswa untuk berpersatuan, bersuara, berpolitik serta berinteraksi dengan masyarakat.
Lebih penting, katanya, sekatan tersebut pada suatu ketika bukan sekadar berlaku dalam lingkungan kampus, malah turut mengehadkan penglibatan mahasiswa dengan parti politik, pertubuhan dan aktiviti di luar universiti.
“Keadaan itu menyebabkan tidak kurang mahasiswa dikenakan tindakan tatatertib sehingga menjejaskan hak mereka untuk menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan sejarah gerakan mahasiswa pada era 1970-an apabila golongan itu tampil membangkitkan isu kemiskinan, kenaikan harga barang, nasib petani dan ketidakadilan sosial.
“Kemuncaknya ialah Peristiwa Baling 1974 yang menyaksikan penglibatan mahasiswa dalam gerakan membela nasib rakyat.
“Mahasiswa prihatin terhadap masalah rakyat adalah aset dan bukan ancaman kepada negara dan mereka harus diberikan ruang untuk belajar demokrasi melalui pengalaman sebenar,” katanya.
Dalam pada itu, Azli juga mengimbas kembali kes empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenakan tindakan berhubung penglibatan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010.
“Kes tersebut akhirnya sampai ke mahkamah dan menjadi antara kes penting dalam perkembangan hak mahasiswa di bawah AUKU.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2012 yang menolak rayuan kerajaan berhubung keputusan mencabar sekatan terhadap mahasiswa daripada menyatakan sokongan atau bangkangan terhadap parti politik.
“Peristiwa itu menjadi sebahagian daripada sejarah penting perjuangan kebebasan mahasiswa,” katanya.
Menurutnya, persoalan asas yang perlu dijawab ialah sama ada mahasiswa boleh mengambil pendirian terhadap isu yang berlaku di sekeliling mereka dan universiti wajar menjadi “menara gading” yang terpisah daripada denyut nadi rakyat.
“Walaupun pindaan AUKU pada 2012 dilihat sebagai langkah penting apabila beberapa sekatan terhadap penglibatan politik mahasiswa dilonggarkan, Amanah berpandangan reformasi lebih menyeluruh masih diperlukan,” katanya.
Azli berkata, jika selepas lebih sedekad masih wujud keperluan melakukan reformasi besar terhadap kerangka undang-undang universiti, ia menunjukkan perubahan tidak seharusnya terhenti pada pindaan kecil.
“Pemansuhan AUKU sepenuhnya harus menjadi pemula untuk membina kerangka baharu yang lebih demokratik, matang dan berasaskan autonomi sendiri.
“Universiti mesti kembali menjadi medan intelektual yang baik, bukan universiti yang hanya melahirkan graduan yang memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.
Beliau menegaskan universiti yang baik bukan sekadar melahirkan graduan cemerlang dalam akademik, tetapi generasi yang mampu berfikir secara kritis dan menguji sesuatu idea.
“Universiti perlu melahirkan mahasiswa yang berbeza pendapat secara matang, mempertahankan hujah berdasarkan fakta serta memahami masalah masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memastikan kerangka baharu yang bakal menggantikan AUKU benar-benar menyeluruh dan tidak sekadar menukar nama atau bentuk kawalan sedia ada.
“KPT perlu memberi jaminan kebebasan bersuara, hak untuk berpersatuan, proses tatatertib telus, mekanisme rayuan berkesan serta ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan kehidupan kampus,” katanya.
Katanya lagi, Amanah berhadap pemansuhan AUKU akhirnya mampu mengubah budaya universiti daripada institusi yang mengawal suara mahasiswa kepada institusi yang mempercayai kematangan mereka.
“Semoga tiada lagi mahasiswa yang menjadi mangsa kerana bersuara.
“Kita mahu universiti Malaysia benar-benar menjadi medan ilmu yang bebas berkarya dan bersuara, demokratik dan bertanggungjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















