KUALA LUMPUR – Pelabur asing meneruskan trend jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM623.6 juta pada minggu lalu.
Institusi asing mencatat jualan bersih pada kesemua lima hari dagangan sepanjang minggu tersebut, kata MBSB Research.
Menurutnya, aliran keluar tertinggi direkodkan pada Jumaat (-RM181.3 juta), diikuti Selasa (-RM171.4 juta), Khamis (-RM125.9 juta), Rabu (-RM92.2 juta) dan Isnin (-RM52.8 juta).
Tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah pengangkutan & logistik (RM103.8 juta), telekomunikasi & media (RM34.9 juta) dan tenaga (RM19.7 juta).
Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih asing tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (-RM469.3 juta), produk & perkhidmatan perindustrian (-RM121.2 juta) dan produk & perkhidmatan pengguna (-RM89.6 juta).
Dalam pada itu, firma penyelidikan ini berkata, pelabur institusi tempatan meneruskan trend belian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM355.5 juta.
Sementara itu, pelabur runcit menamatkan trend jualan bersih selama dua minggu berturut-turut, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM268.1 juta.
Purata volum dagangan harian (ADTV) mencatat penurunan secara keseluruhan.
Volum dagangan pelabur runcit susut 1.1%, institusi tempatan 10.9%, manakala institusi asing 3.7%. – MalaysiaGazette
















