Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) diingatkan tidak terlalu yakin rakyat akan menolak dan menyingkirkan DAP daripada kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) susulan gelombang biru di Johor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, ia dilihat sekadar retorik politik yang lahir daripada kekecewaan susulan keputusan DAP untuk terus kekal dalam kerajaan dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, keputusan pilihan raya adalah hak rakyat dan bukannya sesuatu yang boleh ditentukan lebih awal oleh mana-mana pemimpin politik.

“Jangan terlalu yakin rakyat akan keluarkan DAP. Kenyataan seperti itu seolah-olah mendahului ketentuan Allah.

“Jangan anggap rakyat bodoh sepanjang masa kerana rakyat melihat dan menilai,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa rakyat akan mengeluarkan DAP daripada kerajaan susulan keputusan 88 peratus perwakilannya menerusi undian sulit mahu parti itu kekal dan meneruskan kerjasama politik.

Ibrahim berkata, PN juga perlu menjawab persoalan lebih besar iaitu sama ada gabungan itu benar-benar mempunyai kekuatan untuk menewaskan PH termasuk DAP serta BN pada PRU-16.

Beliau turut mempersoalkan sama ada BN akan kekal bersama PKR dan PH sehingga PRU-16 susulan perkembangan politik di Johor dan Negeri Sembilan perlu dilihat sebagai strategi politik jangka pendek.

“Saya mahu percaya Pilihan Raya Negeri di Johor dan Negeri Sembilan adalah strategi Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Tunggu dan lihat PRU16 nanti,” katanya.

Ibrahim berkata, masih terlalu awal untuk PN menganggap laluan ke Putrajaya sudah terbuka hanya kerana sentimen terhadap kerajaan semasa.

Sebaliknya, kata beliau, PN perlu meyakinkan rakyat ia mempunyai kemampuan mentadbir negara sebelum bercakap mengenai usaha menyingkirkan parti lain.

“Jangan ingat hasrat PN untuk menguasai Putrajaya pada PRU16 nanti akan mendapat sokongan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast