Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap ketika mengadakan sidang media Isu Black Rock di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Putra, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.
Presiden Parti Putra, Datuk Ibrahim Ali bercakap ketika mengadakan sidang media Isu Black Rock di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Putra, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 22 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mempersoalkan slogan ‘penyatuan ummah’ Pas ketika parti itu didakwa cuba menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Perikatan Nasional (PN), tetapi dalam masa sama mahu mendekati UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, percanggahan tersebut menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan Pas dalam membawa agenda penyatuan Melayu dan umat Islam.

“Pas cuba singkir Bersatu dan pada masa sama mahu mendakap BN dan UMNO.

“Tolak satu tambah satu, apakah ini penyatuan ummah?” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurut Ibrahim, rakyat kini boleh melihat percanggahan antara slogan politik dengan tindakan sebenar pemimpin Pas.

Beliau berkata, Pas tidak seharusnya menganggap rakyat akan menerima apa sahaja naratif yang dimainkan atas nama agama dan penyatuan ummah.

“Jangan mempersendakan minda rakyat. Jangan anggap rakyat bodoh sepanjang masa,” katanya.

Ibrahim turut mengkritik perubahan pendekatan Pas terhadap UMNO selepas kedua-dua parti pernah berdepan pertembungan politik yang sengit.

“Percaturan politik yang berubah-ubah tanpa penjelasan kukuh boleh menyebabkan rakyat mempersoalkan prinsip sebenar sesebuah parti,” katanya.

Beliau berkata, politik yang menggunakan slogan penyatuan ummah tetapi pada masa sama mencetuskan perpecahan sesama parti Melayu hanya akan menghakis kepercayaan rakyat.

“Pas mahu mendakap BN dan UMNO, tetapi Bersatu pula cuba disingkirkan. Ini bukan penyatuan ummah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast