KUALA LUMPUR – Semua pemimpin politik tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang seharusnya mempertahankan kedaulatan undang-undang dan tidak mempersoalkan tindakan yang diambil kerajaan negeri Johor berhubung isu bendera Malaysia dipasang terbalik di sebuah kilang.
Timbalan Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Harisrajudin Alaudin berkata, bendera adalah lambang kedaulatan negara yang perlu dihormati semua pihak.
Tutup kilang: Kerajaan jangan lebih zalim daripada harimau – Chang Khim
“Malaysia sudah merdeka lebih enam dekad dan tidak masuk akal jika masih ada pihak yang tidak tahu cara memasang bendera dengan betul. Tindakan perlu diambil terhadap mereka yang bersalah dalam perkara ini tanpa mengira bangsa atau kaum.
“Ini isu kedaulatan negara. Jangan ada pihak cuba menangguk di air keruh demi kepentingan politik, bangsa atau parti masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kilang pasang Jalur Gemilang, bendera Johor terbalik diarah tutup serta-merta
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim yang menggesa kerajaan supaya tidak bertindak lebih zalim daripada harimau berhubung tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.
Harisrajudin berkata, isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik bukan perkara baharu dan sepatutnya tidak terus berulang.
“Berapa kali isu ini timbul dan mereka ini masih tidak serik. Sudah tiba masanya penguatkuasaan lebih tegas dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan ini supaya menjadi pengajaran kepada pihak lain.
“Jangan kerana perbezaan politik, ada pihak cuba mempertikaikan tindakan penguatkuasaan apabila ia melibatkan perkara yang menyentuh kedaulatan negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
Bendera Terbalik: Kerajaan Jangan Lebih Zalim Daripada Harimau – Teng Chang Khim #MGFlash















