Polis Pulau Pinang melupuskan barang kes bernilai RM13.48 juta membabitkan tiga jabatan, hari ini.

KEPALA BATAS – Polis Pulau Pinang melupuskan barang kes bernilai RM13.48 juta membabitkan 2,436 kertas siasatan daripada tiga jabatan, hari ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, pelupusan secara serentak itu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) selepas mendapat kelulusan serta dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang, prosedur dan tatacara pengurusan barang kes yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, bagi JSJ, pelupusan membabitkan 271 kertas siasatan dengan nilai keseluruhan barang kes dianggarkan RM796,000.

Jelas beliau, barang kes berkenaan adalah hasil rampasan daripada pelbagai operasi membanteras kegiatan perjudian, penjualan nombor ekor haram, Bitcoin serta operasi kontraban.

“Ia membabitkan 26 kertas siasatan berkaitan kontraban, tujuh kertas siasatan Bitcoin dan 229 kertas siasatan berkaitan perjudian

“Antara barang kes yang dilupuskan ialah 177 mesin Bitcoin, 2,080 botol arak, 1,183 karton rokok, 30 mesin simulator, 108 mobile printer dan 122 telefon bimbit.

“Kesemua barang kes berkenaan mendapat perintah pelupusan di bawah Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah daripada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Stor Barang Kes Pusat di sini, hari ini.

Dennis Lim menunjukkan antara dadah antara barang yang berjaya mendapat arahan pelupusan.

Bagi JSJN pula, Dennis Lim berkata, pelupusan membabitkan 2,003 kertas siasatan dari 1997 hingga 2026, membabitkan 1,995 kilogram dadah dan ketum, 666 liter cecair dadah serta mitragynine dan 500 kilogram peralatan memproses dadah.

“Keseluruhan dadah, ketum dan peralatan yang dilupuskan dianggarkan bernilai kira-kira RM11.4 juta.

“Antara dadah dan bahan yang dilupuskan ialah 138 kilogram heroin dan monoacetylmorphine, 1,194 kilogram cannabis, 5.5 kilogram ketamine, 21 kilogram methamphetamine, 48 kilogram pelbagai jenis pil dadah serta 588.5 kilogram daun ketum atau mitragynine.

“Sekiranya bahan berkenaan terlepas ke pasaran, jumlah itu dianggarkan boleh menampung penggunaan seramai 3,460,626 penagih,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JSJK melupuskan 177,049 barang kes daripada 162 kertas siasatan, terdiri daripada 172,533 keping VCD/DVD dan 4,516 barang kes lain.

“Keseluruhan VCD/DVD serta barang kes lain yang dilupuskan oleh JSJK dianggarkan bernilai kira-kira RM1,296,511.

“Barang kes lain yang dilupuskan termasuk 4,495 keping poster, dua DVD player, dua televisyen, satu sistem audio, empat pembesar suara, sebuah peti sejuk, sehelai kain alas meja, sembilan keping plywood dan dua kaki meja.

“Bagi barang kes yang mempunyai elemen elektronik dan bahan kimia, pelupusan dilaksanakan melalui pihak yang dilantik serta mengikut kaedah pemusnahan selamat yang diperakui Jabatan Alam Sekitar Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here