KOTA TINGGI – Ditawarkan pakej pelaburan serendah RM350 dan dijanjikan akan menerima selama pulangan dalam tempoh 24 jam sebanyak RM50,000.
Itu modus operandi sindiket phone scam untuk menjerat mangsa dengan janji manis sehingga seorang lelaki terpedaya dan mengalami kerugian sebanyak RM100,000.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun berjaya diperdayakan selepas tertarik dengan iklan skim pelaburan pada 1 Julai lalu.
“Pelaburan tersebut dikenali Centralize diperkenalkan individu Indonesia menerusi Whatsapp. Mangsa yang berminat kemudian melakukan dua transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun penerima yang berbeza.
“Mangsa telah membuat penambahan pembayaran secara berperingkat-peringkat dengan jumlah keseluruhan transaksi mencecah rm100,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bayaran itu bagi mendapatkan pulangan keuntungan pelaburan yang disekat menerusi applikasi Centralize.
Katanya, mangsa menyedari dirinya ditipu apabila tidak menerima pulangan hasil pelaburan seperti yang dijanjikan selepas membuat beberapa pembayaran.
Menurut Yusof, mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi semalam mendakwa diperdaya pelaburan tersebut.
Pihaknya menyiasat kes tersebut bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap skim pelaburan yang tidak sah atau tidak berdaftar serta tidak terpedaya dengan skim pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan yang sangat lumayan dalam masa yang singkat.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersil terkini dengan mengikuti laman sosial rasmi jabatan siasatan jenayah komersil seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















