KUALA LUMPUR – Polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan berhubung kemalangan maut tiga beranak dirempuh sebuah lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya juga ketika ini sedang berusaha mendapatkan rakaman dari pelbagai sudut bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai insiden berkenaan.
“Kita juga sedang mendapatkan CCTV dari setiap sudut kerana di Kuala Lumpur kita dilengkapi dengan CCTV yang mencukupi dan saya rasa ia memadai untuk mendapatkan gambaran mengenai keadaan kejadian itu,” katanya dalam sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Tambah Fadil, hasil siasatan awal mendapati, keluarga yang terlibat berada di kawasan selamat untuk melintas jalan ketika kemalangan itu berlaku.
“Berdasarkan siasatan dan pengamatan rakaman CCTV semasa kejadian, kedudukan keluarga itu berada adalah di kawasan selamat untuk melintas jalan, namun mereka dirempuh lori JIM,” jelasnya.
Fadil menambah, pemandu lori terbabit serta pemandu kenderaan yang melanggar lori berkenaan telah ditahan reman bagi membantu siasatan.
Terdahulu media melaporkan, dalam kejadian jam 1 pagi itu, tiga daripada empat beranak maut selepas dirempuh sebuah lori JIM KL yang sedang dalam perjalanan untuk mengambil Orang Kena Tahan (OKT) dalam satu operasi JIM. – MalaysiaGazette
















