KUALA LUMPUR – Pemeriksaan balas yang dijalankan peguam GK Ganesan terhadap Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi semalam didakwa menunjukkan wujudnya persoalan mengenai hubungan antara bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
Ganesan ialah peguam yang mewakili bekas Pengarah Pelaburan 1MDB, Kelvin Tan iaitu defendan ketujuh dalam prosiding sivil ini.
Peguam utama Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, perkara itu timbul susulan beberapa soalan yang dikemukakan Ganesan kepada Shahrol, termasuk menggunakan dokumen yang sama dalam prosiding bagi menunjukkan urusan tertentu didakwa diatur oleh Shahrol bersama Jho Low tanpa pengetahuan Najib.
“Dalam pernyataan tuntutan 1MDB dikatakan Datuk Seri Najib berpakat dengan Shahrol dan pihak lain, termasuk Jho Low untuk menipu 1MDB.
“Tetapi GK Ganesan dalam pemeriksaan balas semalam telah mengemukakan beberapa soalan, termasuk menggunakan dokumen yang sama, yang menunjukkan orang berpakat ialah Shahrol dengan Jho Low,” katanya pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Muhammad Shafee, pemeriksaan balas itu turut mengemukakan gambaran Najib tidak mengetahui mengenai perkara yang didakwa berlaku di peringkat pengurusan 1MDB.
Katanya, perkara berkenaan didakwa diatur dengan begitu rapi sehingga Najib akhirnya boleh dikaitkan dengan tindakan yang tidak dilakukannya atau tidak diketahuinya.
“Najib tidak tahu langsung, tetapi semuanya diatur dengan begitu rapi supaya beliau akan dituduh atau seolah-olah terpaksa menanggung perkara yang dilakukan oleh orang lain.
“Itulah yang berlaku,” dakwanya.
Muhammad Shafee berkata, perkembangan tersebut penting untuk dilihat dalam konteks keseluruhan keterangan Shahrol Azral yang kini sedang menjalani pemeriksaan balas dalam prosiding saman sivil 1MDB.
Beliau berkata, pemeriksaan balas oleh Ganesan turut meneliti dokumen dan urusan berkaitan 1MDB bagi mencabar dakwaan Najib mempunyai pengetahuan atau terlibat secara langsung dalam tindakan yang didakwa berlaku di syarikat berkenaan.
Shahrol Azral merupakan saksi keempat pihak plaintif dalam saman sivil 1MDB bernilai US$5.64 bilion yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Prosiding berkenaan bermula pada 3 Ogos lalu dan keterangan Shahrol Azral kini menjadi antara tumpuan utama selepas pihak pembelaan mengemukakan pelbagai persoalan mengenai peranannya dalam pengurusan 1MDB serta hubungannya dengan Jho Low. -MalaysiaGazette
















