GOMBAK – Stuktur aset keadaan jalan raya di negara ini kini semakin menua sekali gus menjadi cabaran utama kerajaan bagi memastikan tahap keselamatan terus terjamin dengan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui perkara itu berkata, sebahagian jalan raya dilihat tidak memiliki kekuatan sama bagi menampung berat kenderaan berat yang baharu ketika ini.
“Memang kita akan pastikan keadaan jalan raya kita lebih baik dari sedia ada sebab sset jalan di negara kita ni kita tidak boleh dinafikan dah jauh menua atau aging.
“Jadi tidak berapa kukuh lagi untuk menampung keperluan kenderaan berat yang zaman moden sekarang. Kita tidak boleh naikkan had berat begitu saja tanpa ambil kira apa jalan kita yang sudah tua, kurang kukuh dan sangat mudah rosak
“Itu semua (aset jalan) adalah salah satu faktor yang diambil berat untuk kita berusaha untuk mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Terowong Ketiga dan Projek Pelebaran Lebuhraya KLK di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan AFA Group, Tan Sri Azmil Khalid.
Tambah Alexandar, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan keselamatan jalan raya yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
“Kerajaan memandang serius statistik kematian akibat kemalangan jalan raya yang masih tinggi dengan kira-kira 18 nyawa dilaporkan terkorban setiap hari di seluruh negara
“Jumlah itu direkodkan berdasarkan data Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan banyak strategi telah dibentangkan dan dipersetujui.
“Ini bagi mengurangkan kejadian kemalangan serta kehilangan nyawa. Semuanya merupakan elemen atau faktor yang perlu diambil kira dalam usaha kita mengurangkan kejadian kemalangan di jalan raya,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) perlu dipertingkat dalam sektor pembinaan serta penyelenggaraan jalan raya bagi mengoptimumkan penggunaan dana.
“Peranan kita memang segala kerja kita nak buat memerlukan sumber kewangan dan teknologi, sebab itu kita mestilah lebih novatif lebih resourceful kata orang, menggunakan teknologi digital AI dan sebagainya.
“Sebab itu kita mahu pemain industri, sama ada penyenggara jalan mahupun pembina lebuh raya, mengadaptasi teknologi digital supaya kerja dapat dibuat dengan lebih efisien dan cekap tanpa memerlukan pertambahan dana yang terlalu besar,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















