Amar Huzaimi Md Deris (kiri) semasa pengumuman prestasi kewangan TM pada suku kedua 2026.

KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah iaitu RM365.48 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2026 daripada RM402.97 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Perolehan pula meningkat kepada RM2.96 bilion daripada RM2.77 bilion sebelumnya dipacu oleh permintaan berterusan untuk data, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perkhidmatan telekomunikasi lain.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, TM menyatakan keuntungan operasi sebelum keuntungan lain dan kos kewangan (EBIT) merosot kepada RM545.5 juta daripada RM640.0 juta pada suku kedua 2025.

“Penurunan itu mencerminkan kos yang diiktiraf di bawah inisiatif Prihatin berterusan kumpulan untuk menampung permohonan pemisahan secara sukarela daripada pekerja yang memilih untuk bersara awal atau beralih kerjaya serta pelaburan strategik dalam penajaan Piala Dunia FIFA 2026,” jelasnya.

Inisiatif Prihatin merupakan program yang menampung permohonan pemisahan secara sukarela daripada pekerja yang memilih untuk bersara awal atau beralih kerjaya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, prestasi keseluruhan kumpulan menunjukkan bagaimana strategi PWR 2030 (Perintis, Menang, Revitalisasi) menghasilkan kemajuan yang ketara di seluruh kumpulan.

“Kami mengambil langkah strategik yang berani tetapi perlu pada separuh pertama tahun ini bagi memperkukuh kecekapan, daya saing dan keuntungan TM dalam jangka panjang.

“Dengan pelaksanaan berdisiplin yang terus kami tunjukkan, ditambah pula dengan tumpuan kami untuk meningkatkan pendapatan berulang bernilai lebih tinggi merentasi semua segmen pelanggan, kami kekal berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran tahun kewangan 2026 serta komitmen penciptaan nilai termasuk pulangan mampan kepada para pemegang saham,” katanya.

PWR 2030 merupakan strategi korporat jangka panjang TM untuk mentransformasikan kumpulan dan memperkukuh perniagaannya sehingga 2030.

Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 7.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026 yang akan dibayar pada 18 Sept, 2026, menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan bagi separuh pertama tahun ini sebanyak 13.5 sen sesaham. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here