Ibu kepada murid lelaki berkenaan (dua dari kiri) hadir bersama peguam pada sidang media berhubung insiden menimpa anaknya yang mendapat perhatian Biro Aduan MCA Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Guru yang didakwa mengasari seorang murid lelaki Tahun Enam di sebuah sekolah dalam daerah Timur Laut di sini, kini tidak lagi mempunyai interaksi secara langsung dengannya sebagai langkah perlindungan dan pencegahan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut (PPDTL) telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang diterima dan tindakan susulan telah diambil berdasarkan hasil siasatan tersebut.

“Sesi konsultasi melibatkan waris, PPDTL, pentadbir sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah diadakan bagi membincangkan tindakan susulan serta kebajikan pihak yang terlibat.

“Murid berkenaan turut dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling bagi mendapatkan sokongan serta intervensi yang bersesuaian.

“Selain itu, guru tersebut turut dirujuk kepada Kaunselor Organisasi PPDTL bagi mendapatkan khidmat bimbingan dan sokongan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohamad Dziauddin, JPNPP mengambil maklum masih terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan waris berhubung pengendalian kes berkenaan dan pihaknya masih membuka ruang perbincangan dengan waris.

“JPNPP akan terus memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan murid diberikan keutamaan serta persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif sentiasa dipelihara selaras dengan ketetapan yang berkuat kuasa.

“Pada masa yang sama, kebajikan dan hak guru turut dipelihara dengan memastikan setiap tindakan dilaksanakan secara adil, berhemah dan berdasarkan tatacara yang ditetapkan.

“JPNPP akan terus memantau perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan serta ketetapan yang sedia ada,” katanya.

Media semalam melaporkan MCA Pulau Pinang mendakwa seorang ibu kepada murid lelaki Tahun 6 kecewa tiada tindakan sewajarnya terhadap anaknya yang menjadi mangsa penghinaan, keganasan fizikal dan ugutan daripada seorang guru.

Menurut MCA kenyataan daripada peguam ibu bapa mangsa memaklumkan kejadian didakwa berlaku pada 19 Jun lalu selepas murid terbabit membuat persembahan bacaan Yasin dalam perhimpunan sekolah sebelum guru berkenaan didakwa mengkritik persembahan itu di hadapan kelas dan membuat kenyataan merendahkan dengan membandingkan bacaannya seperti seorang “Mualaf”.

Selain itu, guru berkenaan juga didakwa memukul muka dan tangan murid menggunakan kasut, memukul bahagian kiri muka dengan bekas pensel serta membaling buku ke atas meja murid sehingga menyebabkan kemerahan pada muka murid selepas kejadian.

Kes berkenaan turut dilaporkan kepada guru disiplin pada hari sama dan laporan polis dibuat oleh ibu bapa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here