Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap ketika ditemui hadir pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 OGOS 2026.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak mahu mengambil pendekatan politik yang tidak sesuai dengan realiti setempat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang keputusan berkaitan strategi dan kerjasama politik perlu mengambil kira sentimen akar umbi serta keadaan politik semasa di negeri itu.

Katanya, sentimen akar umbi ketika ini bercampur-campur dan kajian terperinci perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

“Sentimen (kerjasama sempena PRN Melaka) akar umbi bercampur-campur. Jadi kita lakukan kajian terperinci.

“Jangan masuk ke lubuk di mana ikan keli tidak boleh hidup ataupun ikan sepat tinggal tulang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan World Islamic Tourism and Trade Expo (WITEX) 2026 Minister and CEO’s Summit di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya mengenai gesaan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh supaya BN memilih kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka.

Akmal sebelum ini mendakwa situasi semasa menunjukkan rundingan antara parti bagi membentuk kerjasama menghadapi PRN Melaka sedang rancak berlangsung di belakang tabir.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN perlu memastikan setiap keputusan yang dibuat memberikan manfaat lebih besar berbanding mudarat kepada parti dan gabungan.

Katanya, sebarang rundingan dengan mana-mana parti atau gabungan juga perlu dilakukan secara teliti sebelum keputusan dimuktamadkan.

“Itu akan diputuskan oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Dan keputusan itu akan dimuktamadkan oleh kepimpinan UMNO dan BN Pusat,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, jajaran politik baharu yang terbentuk di Negeri Sembilan mungkin diteruskan pada PRN Melaka.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat MKT UMNO pada 28 Ogos ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan menghantar wakil ke Muktamar Tahunan Pas yang dijadual berlangsung di Kelantan, awal September depan.

“Kita pasti akan menghantar wakil ke Muktamar berkenaan,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu masih menunggu jawapan UMNO berhubung jemputan kepada empat pemimpin parti itu untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-72 yang bermula 2 September ini.

Katanya, Pas sudah menghantar jemputan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan tiga lagi pemimpin parti itu tiga hari lalu serta berharap jemputan berkenaan dapat dipenuhi sekiranya mereka mempunyai kelapangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here