AMPANG – Seorang guru tahfiz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua pelajar lelaki berusia 10 dan 11 tahun pada Julai dan Ogos lalu.
Tertuduh, Muhammad Ilyas Jamaludin, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.
Mengikut pertuduhan, dia telah melalukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun tiga bulan ketika mengajar dengan mengajak mandi bersama yang bersifat seksual sekitar jam 7.30 malam pada 15 Ogos lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(f) Akta Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan seterusnya, dia didakwa amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama dengan cara menggosok kemaluan kanak-kanak itu sekitar jam 10 hingga 11 malam pada Julai lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, dia juga didakwa melakukan perbuatan sama ke atas seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun tujuh bulan dengan cara memeluk badan mangsa sekitar jam 11 .30 malam pada Julai hingga Ogos lalu.
Untuk pertuduhan keempat, dia turut didakwa menyuruh mangsa yang sama dengan cara mengosok punggung tertuduh pada 16 Ogos lalu sekitar jam 11.50 malam.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah Maahad Tahfiz di Jalan Enggang, Taman Keramat, di sini.
Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat manakala Seksyen 16(1) berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie bagaimanapun tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan sekiranya jaminan dikenakan bimbang tertuduh mengganggu mangsa.
Peguam, Mohd Zaharudeen Harun berkata, anak guamnya masih bujang dan telah dibehentikan bekerja sebagai tenaga pengajar di maahad tahfiz itu serta-merta selain perlu menanggung ibu bapanya yang sudah uzur.
“Saya difahamkan pihak madrasah telah menamatkan perkhidmatan OKT serta -merta dan tiada sebarang isu untuk dia hadir ke madrasah tersebut bagi mengganggu saksi ataupun mangsa.
“Jika OKT dijamin, tujuannya adalah untuk memastikan kehadiran dia ke mahkamah dan jumlah yang dikenakaan tidaklah terlalu tinggi dan boleh dikemukan oleh penjamin dengan cadangan RM10,000 bagi semua pertuduhan.
“Tertuduh sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan di Mahkamah Seremban dan dia tidak pernah tidak hadir ke mahkamah. Oleh itu, saya mohon mahkamah juga mengambil kira faktor ini bagi mengurangkan jaminan,” jelasnya peguam itu.
Nadiah kemudian berkata, jaminan yang dipohon pihak pembelaan adalah rendah kerana jaminan yang dikenakan ke atas tertuduh bagi kes di Mahkamah Seremban berjumlah RM26,000.
Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menetapkan jaminan bagi semua pertuduhan sebanyak RM30,000 dan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Selain itu, tertuduh tidak boleh menganggu saksi atau mangsa sepanjang kes berjalan dan sebutan semula kes ditetapkan semula pada 5 Oktober depan. – MalaysiaGazette
















