KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner hari ini diberitahu bahawa kesemua empat jurnal yang diperiksa berhubung kematian Zara Qairina Mahathir didapati tidak lengkap, dengan satu daripadanya kehilangan 64 helaian.
Saksi ke-77, pensyarah dan penyelidik sains forensik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa berkata, jurnal berkenaan terdiri daripada jurnal berwarna hijau yang ditandakan sebagai W1, jurnal Simple Style Book berwarna ungu (W2), jurnal berwarna coklat gelap (W3) dan jurnal Love And Peace berwarna hijau zaitun (WK9).
Wan Nur Syuhaila yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kimia Tulen dan Gunaan dari University of Strathclyde, United Kingdom berkata, pemeriksaan fizikal mendapati W1 mengandungi 97 helaian berbanding 98 helaian dalam jurnal baharu daripada jenis sama yang dijadikan rujukan, menunjukkan satu helaian hilang atau telah dikoyakkan.
Beliau berkata, W2 pula hanya mengandungi 53 helaian berbanding 96 helaian dalam jurnal rujukan baharu, bermakna 43 helaian hilang, manakala W3 mempunyai 77 helaian berbanding 98 helaian dalam jurnal rujukan, menjadikan 21 helaian hilang.
Menurutnya, WK9 diterima dalam keadaan lusuh dan koyak serta hanya mengandungi 54 helaian berbanding 118 helaian dalam jurnal baharu daripada jenis sama yang dijadikan rujukan, menunjukkan sebanyak 64 helaian hilang.
“Kesimpulan saya berdasarkan pemeriksaan fizikal dan rekonstruksi mendapati jurnal W1, W2, W3 dan WK9 berada dalam keadaan tidak lengkap ketika saya menjalankan pemeriksaan,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian Zara Qairina di sini hari ini.
Wan Nur Syuhaila berkata, pemeriksaan lanjut terhadap jurnal WK9 turut menemukan bukti pengubahsuaian dan pindaan, apabila helaian kosong hadapan asal didapati telah dikoyakkan dengan sebahagian daripada helaian asal masih berbaki di bahagian atas kiri.
Beliau berkata, helaian kosong belakang kemudiannya dikoyakkan dan ditampal pada kulit hadapan jurnal, meninggalkan kesan bahan asal serta bahagian yang baharu ditampal, yang menurutnya penemuan itu menjadi asas kepada kesimpulan bahawa jurnal WK9 telah melalui proses pengubahsuaian dan pindaan.
Wan Nur Syuhaila turut memberitahu mahkamah bahawa beliau memeriksa jurnal serta helaian kertas berasingan menggunakan kaedah Electrostatic Detection Apparatus (ESDA), iaitu peralatan forensik yang digunakan untuk mengesan kesan tekanan tulisan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Beliau berkata, kesan tekanan tulisan berjaya dikesan pada halaman 51, 53, 67 dan 100 jurnal W2, namun tiada halaman sepadan ditemukan dalam jurnal itu yang mempunyai padanan dengan kesan berkenaan.
Bagi WK9, Wan Nur Syuhaila berkata, kesan tekanan tulisan ditemukan pada halaman 1, 4, 7, 17, 37, 50, 51 dan 53, namun tiada halaman sepadan dalam jurnal itu yang mempunyai padanan dengan kesan berkenaan.
Beliau turut menemukan kesan tekanan tulisan pada bahagian dalam kulit hadapan WK9, namun tidak dapat mengekstrak atau membacanya menggunakan kaedah ESDA berikutan kekangan teknikal.
Wan Nur Syuhaila turut menjelaskan bahawa beliau tidak membuat perbandingan antara tulisan tangan yang ditemukan dengan tulisan mana-mana individu bagi menentukan penulisnya.
Sebaliknya, beliau berkata, analisis tulisan tangan dilakukan pemeriksa dokumen forensik Tay Eue Kam menggunakan bahan yang diperoleh hasil pemeriksaannya.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya kira-kira 4 pagi.
Prosiding inkues bersambung pada 2.30 petang ini dengan saksi sama. – BERNAMA
















