KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menambah lapan perkhidmatan KTM Komuter Utara bagi laluan Butterworth – Padang Besar – Butterworth bermula 27 hingga 31 Ogos 2026 sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan.

Penambahan perkhidmatan menerusi pelaksanaan Jadual Waktu Khas KTM Komuter Sektor Utara itu dibuat bagi memenuhi jangkaan peningkatan permintaan penumpang sepanjang tempoh berkenaan.

Menerusi penambahan tersebut, jumlah keseluruhan perkhidmatan bagi laluan Butterworth – Padang Besar – Butterworth akan meningkat daripada 38 kepada 46 perkhidmatan sehari.

Melalui inisiatif ini, KTMB menjangkakan peningkatan jumlah penumpang sebanyak 30% berbanding hari biasa.

“Penambahan perkhidmatan ini juga dijangka dapat meningkatkan kapasiti bagi menampung sehingga 5,000 penumpang tambahan sehari, menjadikan keseluruhan kapasiti tambahan sebanyak 25,000 penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan inisiatif ini.

“Daripada jumlah berkenaan, empat perkhidmatan tambahan disediakan bagi laluan Padang Besar – Butterworth, menjadikan keseluruhan 23 perkhidmatan sehari berbanding 19 perkhidmatan pada jadual biasa.

“Bagi laluan Butterworth – Padang Besar, empat (4) perkhidmatan tambahan turut disediakan, menjadikan keseluruhan 23 perkhidmatan sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KTMB berkata, penambahan perkhidmatan ini merupakan antara langkah proaktif dalam meningkatkan kapasiti pengangkutan awam serta memberi lebih banyak pilihan waktu perjalanan kepada penumpang, khususnya bagi pergerakan antara Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sepanjang musim cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan.

Katanya, orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal dan merujuk Jadual Waktu Khas KTM Komuter Sektor Utara yang akan berkuat kuasa sepanjang tempoh tersebut bagi memastikan perjalanan lebih teratur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here