KLANG – Polis menahan lima lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh dengan senjata di sebuah kedai makan di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran, Klang, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, dua lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 26 tahun dipercayai dipukul beberapa suspek.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian muka dan hidung sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Lim Jit Huey dalam kenyataan media berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bertindak atas maklumat, pasukan polis Klang Selatan berjaya menahan lima suspek lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 25 tahun, semalam.
Permohonan reman terhadap kesemua suspek kemudian dibuat di Mahkamah Majistret Klang dan dibenarkan selama tiga hari.
Mereka ditahan bermula hari ini sehingga 26 Ogos bagi membantu siasatan lanjut.
Polis turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Amirul Asyraf Salim di talian 010-338 1645 atau Bilik Gerakan IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222. – MalaysiaGazette
















