KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuat laporan polis berhubung satu hantaran tular di media sosial mengenai pengalaman seorang pemohon ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tindakan itu diambil selepas JIM menjalankan semakan terhadap dakwaan yang dikemukakan dalam hantaran berkenaan.
Menurutnya, semakan dibuat dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV), rekod berkaitan serta mendapatkan keterangan daripada pegawai yang bertugas ketika kejadian.
“Hasil semakan mendapati terdapat beberapa dakwaan dalam hantaran berkenaan yang tidak selaras dengan rakaman CCTV, rekod berkaitan serta keterangan yang diperoleh Jabatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini tular tentang pengalaman seorang wanita yang mendakwa dia dimalu dan dituduh mencuri sarung pasport ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu, pada 21 Ogos lalu.
Zakaria berkata, JIM memandang serius perkara itu bagi memastikan keadaan sebenar dapat diperjelaskan berdasarkan fakta yang diperoleh.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya dan JIM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, JIM menghormati hak setiap individu untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman atau mengemukakan aduan berhubung perkhidmatan jabatan.
Namun, katanya, perkongsian maklumat yang tepat dan menyeluruh amat penting bagi memastikan sesuatu perkara dapat dinilai secara adil serta mengelakkan sebarang salah faham.
“JIM kekal komited untuk memastikan setiap aduan ditangani secara telus, profesional dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak, di samping terus memberikan perkhidmatan yang berhemah, berintegriti dan mengutamakan kepentingan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















