SERDANG – “Tak pernah terlintas terima anugerah ini, saya sendiri terkejut”.
Itu reaksi Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim selepas dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Perdana Maulidur Rasul 2026.
Syed Azman, 66, yang ditemui media menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai penghormatan besar.
Katanya, beliau hanya mengetahui mengenai pemilihannya selepas menerima surat yang disampaikan sendiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
“Perasaan (menerima anugerah) ini amat sukar saya gambarkan. Memang tidak pernah terlintas difikiran untuk menerima anugerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul 2026 peringkat kebangsaan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Syed Azman menerima pengiktirafan itu daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan dan jasa beliau dalam industri penerbangan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini.

Dalam majlis sama, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Kham Mydin Pitchay menerima Anugerah Tokoh Wira Negara atas usaha memerangi rasuah, salah guna kuasa serta sindiket jenayah terancang tanpa kompromi.
Ayob berkata, pengiktirafan itu bukan sahaja kejayaan buat dirinya, malah turut mencerminkan penghargaan terhadap PDRM atas sumbangan pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam.
“Sebenarnya saya tidak sangka dipilih untuk menerima anugerah ini kerana ramai lagi wira di luar sana ada pengalaman bertempur dengan komunis dan penganas di Lahad Datu.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan pihak JAKIM yang memilih saya untuk menerima anugerah tokoh ini,” katanya.
Enam lagi penerima ialah Maulana Abdul Hamid Chin (Tokoh Agamawan); Prof Dr Ruzita Mohd Amin (Tokoh Wanita Madani); Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir (Tokoh Saintis/Inovatif Kreatif [Ikon Minda Citra]); Ahmad Fahmi Mohd Shamsudin (Tokoh Belia Harapan); Laman Yasim (Tokoh Keluarga Mithali) dan Muhamad Mikhael Sathayah (Tokoh Khas Saudara Baru Cemerlang).
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Is,am Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, dua kategori baharu diperkenalkan pada sambutan Maulidur Rasul tahun ini sebagai ruang penambahbaikan dalam mengiktiraf sumbangan masyarakat.
“Pada sambutan (Maulidur Rasul) tahun ini, kita ada dua kategori baharu iaitu Tokoh Wanita Madani dan Tokoh Keluarga Mithali.
“Saya yakin dengan adanya ruang ini, ia akan memberi semangat kepada rakan-rakan di luar sana untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada negara.
“Apa yang penting, pemilihan ini bukan sekadar suatu perkara yang membanggakan tetapi juga masing-masing ada kekurangan serta kelebihan tersendiri yang menyebabkan mereka dipilih sebagai penerima anugerah,” katanya. – MalaysiaGazette

















seharusnya Rafizi Ramli dan Lim Guan Eng juga diberikan penghormatan untuk Anugerah Tokoh Maulidur Rasul kerana sumbangan mereka yang tidak ternilaikan
mereka lah pencetus RCI Tabung Haji