Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari.

KUALA LUMPUR – Seramai 132 atlet dikenal pasti berpotensi untuk dipertimbangkan menyertai persiapan skuad negara ke Sukan SEA 2027 susulan prestasi memberangsangkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, jumlah itu membabitkan 59 atlet lelaki dan 73 wanita berdasarkan penilaian awal sepanjang temasya yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos lalu.

Menurut beliau, atlet terbabit akan terus dipantau dan dinilai berdasarkan prestasi semasa, konsistensi, tahap kecergasan, status kecederaan serta pencapaian di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Penilaian turut mengambil kira keperluan setiap acara sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung pemilihan atlet ke arah Sukan SEA 2027,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, SUKMA XXII Selangor 2026 turut menjadi platform penting untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan sukan negara.

Katanya, seramai 372 atlet daripada Program Podium, Pelapis dan Podium Berfasa Majlis Sukan Negara (MSN) bertanding pada temasya kali ini dengan menyumbang 373 pingat, terdiri daripada 180 emas, 99 perak dan 94 gangsa.

“Sebanyak 37 rekod baharu SUKMA dicatat pada temasya kali ini, dengan 14 daripadanya dipecahkan atlet di bawah program MSN, merangkumi enam rekod olahraga, tiga rekod memanah dan lima rekod renang.

“Antara atlet yang menyerlah ialah perenang Program Pelapis, Shannon Yan-Qing Tan yang memenangi lapan pingat emas, manakala atlet Program Podium, Muhammad Dhuha meraih lima pingat emas,” katanya.

Tambah beliau, seramai 1,975 atlet yang dikenal pasti menerusi Program Bakat, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas MSN turut menyertai SUKMA kali ini.

Daripada jumlah itu, seramai 538 atlet berjaya menyumbang pingat kepada kontinjen negeri masing-masing.

Dalam pada itu, Taufiq mengucapkan tahniah kepada Selangor yang muncul juara keseluruhan SUKMA XXII dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.

Wilayah Persekutuan dan Terengganu masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga keseluruhan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pasukan berbasikal trek Terengganu yang dianggotai Nur Aieris Madhiah, Dahlia Hazwani, Ameera Alya dan Nur Aierin Wadhiah selepas mencipta rekod kebangsaan dengan catatan 4 minit 42.878 saat.

Perenang Selangor, Eliza Ai Shen Tan pula memperbaharui rekod kebangsaan acara 100 meter gaya bebas wanita sebanyak dua kali pada peringkat saingan dan final dengan catatan 56.78 saat untuk meraih pingat emas.

Beliau menyifatkan, kejayaan SUKMA XXII Selangor 2026 merupakan hasil dedikasi, kerja keras dan semangat juang seluruh warga sukan negara, selain membuktikan Malaysia mempunyai pangkalan bakat sukan yang besar.

Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama MSN serta semua pemegang taruh akan terus memperkukuh SUKMA sebagai platform pembangunan atlet negara.

“Usaha ini termasuk aspek pembangunan dan pengenalpastian bakat, penyertaan atlet muda, standard pertandingan, pembangunan jurulatih, penggunaan data prestasi dan sains sukan serta laluan atlet ke program pembangunan kebangsaan.

“Ini penting bagi memastikan SUKMA terus menjadi medan berkesan untuk melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang akan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here