KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tiada motif jahat terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberikan sumbangan wang RM4.8 juta kepada parti itu, lima tahun lalu.
Sebaliknya, Pengarah KCJ Engineering Sdn. Bhd., Datuk Seri Azman Yusoff, 54, berkata, sumbangan peribadi RM4 juta dan wang syarikat RM800,000 diberikan untuk membalas budi Muhyiddin kerana berjaya memperoleh sokongan beliau mendapatkan projek Janawibawa.
Menurutnya, pada 30 Julai 2021, syarikatnya mendapat Surat Setuju Terima (SST) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek Membina Jalan Baru Menyambung Felda Bukit Jalur ke Gemas, Negeri Sembilan dengan harga yang telah dimuktamadkan berjumlah RM62 juta dengan tempoh pelaksanaan selama 34 Bulan.
Saksi pendakwaan ke-27 itu berkata, beliau berterima kasih kepada Muhyiddin yang ketika itu perdana menteri kerana membantu kontraktor bumiputera mendapatkan projek meskipun ketika itu negara dilanda wabak Covid-19.
“Ketika Covid-19, tiada projek yang boleh jalan, saya bukan sahaja berterima kasih, malah terhutang budi kepada Tan Sri Muhyiddin,” ujarnya ketika memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Presiden Bersatu yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan Program Janawibawa.
Pada sesi pemeriksaan utama, Azman turut ditanya Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin sama ada beliau mengetahui bahawa perbuatannya memberi sumbangan itu satu kesalahan.
Saksi yang juga Presiden Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berkata, beliau mengetahui perbuatan itu salah namun melakukannya demi kelangsungan perniagaannya.
“Saya tahu (perbuatan itu salah), saya seorang ahli perniagaan. Ketika itu industri pembinaan lumpuh, tiada projek yang jalan. Alhamdulillah dengan pertolongan Tan Sri, industri bangkit semula.
“Sebab itu saya akur dan memberi sumbangan kepada Bersatu, beliau juga ada memaklumkannya secara spontan kepada saya ketika kami bertemu dalam satu perlawanan golf,” ujar beliau.
Menurut Azman, beliau tidak pernah membuat apa-apa sumbangan kepada mana-mana parti politik lain.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bersambung esok.
Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Program Janawibawa daripada empat syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering serta Azman bagi parti politik berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. – MalaysiaGazette
















